Thursday, February 14, 2013

ikan kelah

ARKIB : 14/02/2013

Bercuti sambil menangkap kelah

Roslan Abu Kassim menunjukkan spesies ikan kelah yang dipulihara di kolam Melantai Dua, Taman Negara Kuala Tahan, Jerantut.
JERANTUT 13 Feb. - Pahang sememangnya terkenal dengan pelbagai produk pelancongan sekali gus menjadikannya salah satu negeri yang wajib dikunjungi oleh pelancong yang mahu menghabiskan percutian mereka bersama keluarga atau rakan-rakan.
Keindahan alam sekitar dan pantainya yang indah selain mempunyai pelbagai artifak sejarah di beberapa daerah di sini, menyaksikan para pelancong ingin berada lebih lama di sesuatu destinasi tersebut.
Kini terdapat produk terbaharu yang boleh diketengahkan sebagai salah satu destinasi pelancongan ialah bermain dan menangkap ikan kelah di Lubuk Tenor dan Melantai Dua di Taman Negara Kuala Tahan di sini.
Spesies ikan itu yang dikenali sebagai Tor Tambroides boleh juga ditemui di kawasan sungai kecil di hutan rimba Hulu Tembeling iaitu Sungai Pengau, Sungai Sepia dan Sungai Kenyam.
Bagaimanapun mereka yang mahu memancing atau menangkap ikan berkenaan perlu mendapat kebenaran permit daripada pihak berkuasa di Taman Negara untuk berbuat demikian.
Di kawasan tersebut telah dijadikan lokasi menternak ikan berkenaan bersama spesies lain yang dilakukan oleh pengusaha tempatan menggunakan sistem tagal.
Sistem berkenaan membolehkan pengunjung yang datang ke situ boleh bermain dengan ikan tersebut iaitu menangkap dan melepaskannya semula ke sungai selain memberi makanan terhadap spesies berkenaan.
Seorang pengusaha pelancongan, Roslan Abu Kassim, 47, berkata, spesies ikan berkenaan mengambil masa selama tiga tahun untuk membesar dan mencapai seberat tiga kilogram.
''Ikan itu boleh mencapai berat sehingga lapan kilogram dan hidup selama 40 tahun bergantung pada kesesuaian habitat, persekitaran dan makanan.
''Sememangnya, Lubuk Tenor dan Melantai Dua merupakan habitat ikan tersebut sejak dahulu lagi di Taman Negara kerana persekitaran yang sesuai dan mempunyai banyak makanan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Seorang penduduk Kampung Pagi, Mi Hamidi Nipah, 42, berkata, tangkapan ikan itu kini dikawal memandangkan spesies tersebut mendapat permintaan tinggi di pasaran luar.
"Kegiatan menangkap ikan tersebut di sungai itu kini dikawal untuk menghindarkan kepupusan, cuma mereka yang memiliki permit Jabatan Perikanan Pahang sahaja dibenarkan menangkapnya," ujarnya.
Bagi rakannya, Zainuddin Nong, 43, aktiviti seperti itu dapat mendekatkan pelawat untuk mengenali ikan tersebut dengan lebih dekat.
"Konsep tangkap dan lepas dalam kalangan pelancong memang patut dipuji walaupun tujuan berseronok dan bersantai, tetapi pada masa dapat memulihara anak-anak ikan air tawar tersebut," katanya.
Tambahnya, langkah kerajaan memulihara spesies berkenaan di dua kawasan itu akan memberi kesedaran mengenai penjagaan habitat yang menjadi aset pembangunan pelancongan di situ.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pahang/20130214/wp_01/Bercuti-sambil-menangkap-kelah#ixzz2Kw5IUIBY
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment