Saturday, May 4, 2013

surat palsu

Surat palsu calon BN bagi duit RM500 kepada pengundi India

Mohd. Sharkar Shamsuddin (duduk tiga dari kiri) memegang surat palsu yang diedarkan kepada kaum India di Lanchang pada sidang akhbar semalam. Yang turut sama Pengerusi MIC Temerloh, Datuk A.Shivalingam (duduk dua dari kiri).
TEMERLOH 2 Mei - Pembangkang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lanchang dikesan menyebarkan fitnah kononnya calon Barisan Nasional (BN) akan memberi wang sebanyak RM500 kepada setiap pengundi India di DUN berkenaan.
Pengerusi BN Temerloh, Datuk Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, pengundi kaum India menerima surat daripada ‘MIC’ yang ditandatangani Presidennya, Datuk Seri G. Palanivel meminta mereka mengambil wang tersebut di pejabat BN Temerloh.
Beliau yang juga calon BN bagi kerusi DUN Lanchang memberitahu, hakikatnya surat dan tandatangan Presiden MIC itu adalah palsu.
“Sebagai calon BN bagi DUN Lanchang saya menafikan akan memberi RM500 kepada setiap pengundi kaum India seperti yang heboh diperkatakan selepas penyebaran surat palsu mengenai perkara tersebut di sekitar Lanchang semalam.
“Tindakan parti lawan menyebarkan surat palsu tersebut adalah fitnah besar terhadap BN selepas mereka gentar dengan sokongan berterusan masyarakat kaum India di Lanchang," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurutnya, beliau telah mengarahkan MIC dan Gerakan membuat laporan polis berkenaan penyebaran surat palsu itu dan berharap polis menyiasat perkara tersebut dan mengheret individu ke muka pengadilan.
Menurut beliau, jika semua 3,800 pengundi di Lanchang menerima RM500 bermakna beliau perlu mengeluarkan sebanyak RM1.9 juta untuk diagih-agihkan kepada pengundi.
“Saya terima sistem pesanan ringkas (SMS) dan panggilan telefon mengenai perkara ini daripada rakan-rakan MIC di Lanchang hari ini dan ini jelas pembohongan dan fitnah.
“Kandungan surat palsu itu menggesa orang India ambil duit dengan saya pukul 10 pagi hari ini, tandatangan Presiden MIC dalam surat itu juga palsu," katanya.
Mohd. Sharkar berkata, sebelum ini, calon BN bagi Parlimen Temerloh, Datuk Saifuddin Abdullah dan calon DUN Kuala Semantan, Mohamad Anuar Mohd. Yunus turut menjadi mangsa fitnah pembangkang.
Sehubungan itu beliau menasihati orang ramai khususnya pengundi di Lanchang membuat semakan dan pengesahan daripada BN jika menerima berita atau SMS yang meragukan selepas ini.

No comments:

Post a Comment