Saturday, May 4, 2013

peneroka dapat duit tanam semula

ARKIB : 30/04/2013

1,000 bakal terima insentif tanam semula di Bera

ISMAIL Sabri Yaakob menunjukkan surat kelulusan Skim Intensif Tanaman Semula untuk 1,000 peneroka dalam sidang akbar di Pejabat UMNO, di Bera, semalam.
BERA 29 April - Sebanyak 1,000 peneroka di Parlimen ini yang masih belum mendapat bayaran Skim Insentif Tanaman Semula (SITS) sawit menerima khabar gembira apabila permohonan mereka sudah diluluskan kerajaan.
Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dengan itu, Lembaga Pelesenan Minyak Sawit (MPOB) akan membuat pembayaran tersebut secara berperingkat bermula dengan pekebun di Felda Triang 1 dan Mengkuang tidak lama lagi.
Katanya, keseluruhan bayaran tersebut berjumlah RM4 juta melibatkan RM1,000 untuk setiap hektar yang mana setiap peneroka akan menerima RM4,000.
''Sebab mereka tidak terima sebelum ini kerana tempoh penebangan pokok sawit masih baharu. Mana yang ditebang sebelum 2011, semua telah menerima bayaran masing-masing.
''Selain itu, kesemua permohonan ini melibatkan peneroka yang mengusahakan kebun secara sendiri, tetapi alhamdulillah isu ini sudah selesai dan tarikh pembayaran ditentukan kemudian," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat jentera BN di sini hari ini.
Katanya, peneroka Felda yang terlibat ialah di Purun iaitu 32 orang, Mayam (15), Triang 3 (110), Triang 1 (231), Kumai (177), Tementi (102), Rentang (65), Bukit Mendi (251), Bukit Puchong (185) dan Mengkuang, 85 orang.
Menurut Ismail Sabri, dengan pengumuman ini diharapkan pekebun terlibat tidak perlu lagi berasa bimbang kerana permohonan mereka diluluskan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi sepucuk surat bertarikh 10 April lalu.
Katanya, sehubungan itu, mereka tidak perlu mendengar tohmahan pembangkang yang menjadikan perkara ini sebagai isu di Parlimen ini, sebaliknya bersabar sementara menanti bayaran dibuat.
''Jadi, kalau ada masalah bukan pembangkang yang patut mereka cari tetapi kita, kerana sebagai kerajaan, BN mampu menyelesaikan masalah mereka.
''Sebab ada peneroka kadang-kadang terpengaruh dengan janji pembangkang kononnya kalau memerintah permohonan mereka akan luluskan. Namun, kita sekarang sedang memerintah, dan kita luluskan sekarang.
''Yang pembangkang, semuanya kalau tetapi kita ambil tindakan segera," jelasnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pahang/20130430/wp_02/1000-bakal-terima-insentif-tanam-semula-di-Bera#ixzz2SMk18azQ
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment