Thursday, September 13, 2012

tingkat taraf hidup orang asli

ARKIB : 11/09/2012

Mekanisme terbaik tingkat taraf hidup Orang Asli

Wan Rosdy Wan Ismail (tengah) bersama Tok Batin dan masyarakat Orang Asli menunjukkan isyarat 1Malaysia selepas majlis Hari Raya Aidilfitri di Sungai Koyan, Cameron Highlands, kelmarin.
CAMERON HIGHLANDS 10 Sept. - Kerajaan negeri mempunyai mekanisme terbaik dan berada di landasan betul dalam meningkatkan taraf hidup seramai 65,000 penduduk Orang Asli di pedalaman negeri ini khususnya menerusi sektor ekonomi dan pendidikan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail berkata, manifestasi kerajaan negeri menjaga kepentingan Orang Asli amat jelas kerana mereka berdiri teguh di belakang pemimpin Barisan Nasional (BN) di kawasan masing-masing.
Menurutnya, banyak peruntukan disediakan untuk menyiapkan kemudahan asas di kampung Orang Asli sebagai aspirasi kerajaan negeri mengubah kehidupan suku kaum minoriti berkenaan berasaskan transformasi pembangunan moden.
"Jadi, Orang Asli di pedalaman tidak wajar terpengaruh dengan retorik pihak tertentu yang mengumpan janji untuk pembelaan kebajikan dan pembangunan.
"Mereka cuba meraih sokongan menjelang pilihan raya umum tidak lama lagi dengan menabur fitnah serta janji palsu yang boleh memecahbelahkan perpaduan," katanya pada majlis jamuan Hari Raya Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai, di Sungai Koyan, dekat sini semalam.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanah Rata, Ho Yip Kap dan Penghulu Mukim Hulu Jelai, Mohd. Razaki Abdul Razak.
Pada majlis berkenaan, Wan Rosdy menyampaikan sebanyak 92 buah gergaji enjin bernilai RM100,000 kepada Tok Batin dan ahli Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) di kalangan Orang Asli di pedalaman Hulu Jelai, dekat sini.
Pada masa sama, beliau berharap Orang Asli tidak terpengaruh dengan tohmahan pihak tertentu khususnya pembangkang yang sudah kehabisan idea dan kini beralih mencari pengaruh dalam kalangan pengundi Orang Asli di pedalaman.
Katanya, mereka perlu matang dan berfikiran secara positif iaitu membezakan antara keikhlasan manifestasi rancangan pembangunan kerajaan dan janji kosong pembangkang.

No comments:

Post a Comment