Friday, September 14, 2012

kolam air panas di bentong

ARKIB : 14/09/2012

Kolam Air Panas Bentong terjejas ekoran pembinaan resort

Kawasan Kolam Air Panas Bentong dipagari zink berikutan projek pembinaan resort berdekatan yang kini menjejaskan suhu air kolam berkenaan.
Saudara Pengarang,
SELAKU pelawat yang cintakan keindahan alam sekitar, saya kerap berkunjung ke pusat rekreasi di Pahang Barat. Antara lokasi yang paling sinonim dengan jiwa saya ialah Kolam Air Panas Bentong.
Agak lama saya tidak berkunjung ke tempat berkenaan dan baru-baru ini ketika menjengah ke sana semula, saya agak terkejut kerana mendapati kawasan berkenaan dalam keadaan tidak selesa kerana pembinaan sebuah resort berdekatan situ.
Sepanjang pengetahuan saya, kolam berukuran 100 meter panjang dan 20 meter lebar terletak 13 kilometer dari Jalan Persekutuan Lama Bentong - Kuala Lumpur dikelilingi pokok-pokok yang menghijau cukup mendamaikan ketika bersantai.
Sesungguhnya, kolam air panas berkenaan antara lokasi yang sesuai sebagai satu produk pelancongan di kawasan Pahang Barat.
Kedudukan antara bandar Bentong dan Lembah Kelang sudah tentu menjadi satu kemudahan untuk orang ramai singgah bersantai sambil menikmati kehangatan airnya yang dikatakan boleh menyembuhkan penyakit kulit dan meredakan gangguan saraf penghidap angin ahmar.
Untuk pengetahuan Rakan Pahang kandungan sulfur dalam air panas dipercayai oleh pengamal perubatan tradisional boleh menyembuhkan penyakit kulit.
Rata-rata pengunjung berpendapat pembinaan resort itu boleh menjejaskan keadaan alam semula jadi sekali gus mengurangkan suhu kepanasan air kolam berkenaan termasuk kandungan galian sulfur.
Malah, kemudahan di lokasi berkenaan turut menjadi tanda tanya apabila pelawat menghadapi kesukaran tempat untuk menukar pakaian dan tandas selepas dan sebelum mandi.
Projek pembangunan resort dan ketiadaan kemudahan menyebabkan pengunjung berasa tidak selesa apatah lagi rata-rata mereka terdiri daripada golongan warga emas menggunakan air panas kolam itu bagi tujuan perubatan.
Senario berkenaan menimbulkan kebimbangan penduduk tempatan dan pelawat sehingga terdapat poster dilekatkan berdekatan kolam itu meminta lokasi berkenaan dipulihkan untuk keselesaan orang ramai.
Menerusi Rakan Pahang minggu ini, saya berharap pihak berwajib dapat menyegerakan pembinaan resort berdekatan untuk kemudahan penginapan di samping memelihara kehijauan alam sekitar di situ.
Kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) pula diharap dapat menaik taraf kolam berkenaan dengan kemudahan asas untuk keselesaan pengunjung sekali gus dapat memacu sektor pelancongan di Bentong dan Pahang Barat amnya.
OMAR KUTTY
Lembah Klang

No comments:

Post a Comment