Saturday, September 1, 2012

manusia ganggu gajah...gajah ganggu manusia

ARKIB : 31/08/2012

Peneroka kerugian gajah ceroboh tanaman

MOHD. Zain Jaafar menunjukkan pokok sawit dewasa yang ditumbangkan oleh gajah liar di ladang Felda Tekam Utara, Jerantut kelmarin.
JERANTUT 30 Ogos - Seramai 37 peneroka Felda Sungai Tekam Utara dekat sini, menanggung kerugian bernilai RM192,000 setelah ladang sawit mereka dimusnahkan sembilan ekor gajah liar sejak awal tahun ini.
Pencerobohan itu dipercayai berpunca akibat Hutan Simpan Lepar dan Hutan Simpan Berkelah, kini ditebus guna untuk projek perladangan dan penebangan balak.
Rata-rata peneroka terbabit kesal dengan penebangan balak secara berleluasa sehingga mengancam habitat haiwan liar sekali gus menceroboh ladang sawit Felda Telam Utara, Felda Kota Gelanggi Dua dan Empat, Felda Sungai Tekam dan Sungai Jerik.
Peneroka Felda Tekam Utara, Mohd. Zain Jaafar, 65, berkata, dia mengalami kerugian apabila 220 batang pokok termasuk benih sawit yang baru ditanam dimusnahkan gajah liar berkenaan.
"Haiwan ini menceroboh pada waktu malam lalu memusnahkan pokok muda dan merosakkan zink penghadang benih sawit. Kita berdepan kerugian apabila gajah berkenaan menceroboh memakan pucuk, umbut dan daun manakala pokok sawit yang berbuah lebat yang menunggu masa dituai juga musnah," katanya kepada pemberita di Tekam Utara, dekat sini semalam.
Sebelum kejadian itu, menurutnya, hasil bulanan yang diperoleh antara 10 hingga 13 tan tetapi menyusut kepada tujuh tan selepas tanaman mereka diancam gajah liar.
Rakannya, Abdul Wahab Wan Mat, 62, berkata, pihak berwajib diminta menangani masalah itu untuk meringankan beban peneroka yang mengalami defisit pendapatan sejak gajah tersebut bermaharajalela.
"Kami mengalami kerugian besar sejak Januari tahun ini dan terbeban dengan pembiayaan keluarga dan persekolahan anak," katanya.
Sementara itu, pekerja Felda Technoplant di sini, Che Ibrahim Omar, 56, berkata, gajah liar tersebut menceroboh pada setiap malam di kawasan ladang dan memusnahkan tanaman.
"Kita bekerjasama dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Taman Negara (Perhilitan), Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dan Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) dalam membuat rondaan," katanya.
Menurutnya, walaupun menyalakan api menggunakan tayar kenderaan terpakai dan membakar mercun untuk menakutkan haiwan itu namun gajah liar tersebut tetap menceroboh di Felda berkenaan.
Dalam pada itu, Ketua Kampung Felda Tekam Utara, Mohd. Rashid Abbas meminta kerajaan negeri dan Perhilitan mencari alternatif terbaik memindahkan kumpulan gajah berkenaan bagi mengelakkan peneroka di situ terus menanggung kerugian.
"JKKK akan mengadakan pertemuan dengan Felda, Perhilitan dan wakil rakyat pada awal September ini untuk mencari jalan terbaik menangani pencerobohan haiwan liar berkenaan," ujarnya.

No comments:

Post a Comment