Friday, September 28, 2012

satu kampung satu projek

ARKIB : 27/09/2012

Saran rakyat wujud satu kampung satu projek

Abdul Manan Ismai menunjukkan sayur terung yang diusahakan peserta projek ketika mengadakan lawatan ke tapak Projek Tanaman Fertigasi Terung dan Cili di Kampung Gelugor, Kuantan, baru-baru ini.
KUANTAN 26 Sept. - Rakyat di kawasan Parlimen Paya Besar disaran berbincang dengan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) masing-masing jika mempunyai perancangan untuk melaksanakan projek bagi menjana pendapatan mereka.
Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail berkata, ia penting bagi membolehkan setiap Pengerusi JKKK menyatakan kepada beliau tentang hasrat yang diinginkan di kawasan tersebut.
"Kalau ada apa sahaja projek untuk menjana pendapatan, segeralah berbincang dengan Pengerusi JKKK di kampung masing-masing.
"Kalau mereka (rakyat) minat pertanian, kita boleh laksanakan projek pertanian seperti Projek Tanaman Fertigasi Terung dan Cili yang kita adakan di Kampung Gelugor ini.
"Kalau kita berbincang, saya percaya Parlimen Paya Besar ini boleh wujudkan satu kampung satu projek. Contohnya Kampung Gelugor ini kita lahirkan kumpulan pertanian dan mungkin nanti ada kampung yang buat penternakan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Utusan Malaysia selepas mengadakan lawatan ke tapak Projek Tanaman Fertigasi Terung dan Cili di Kampung Gelugor di sini, baru-baru ini.
Hadir sama Pengerusi JKKK Kampung Gelugor, Mamat Jamil.
Abdul Manan berkata, fertigasi bukan perkara baru bagi golongan petani kerana ia kian mendapat sambutan disebabkan kelebihannya yang mudah untuk dilaksanakan berbanding kaedah konvensional.
Selain itu, katanya, kaedah tersebut tidak memerlukan ruang yang luas untuk dipraktikkan kerana medium tanaman fertigasi hanya menggunakan sebuah beg plastik yang berisi tanah dengan baja diagihkan melalui sistem pengairan.
"Sekiranya projek tanaman terung dan cili ini berjaya, kita boleh usahakan untuk tanam tanaman lain seperti bayam dan kangkung.
"Saya juga akan usahakan untuk memasang bumbung kanvas bagi mengelakkan tanaman ini (terung dan cili) daripada terkena hujan. Saya akan minta Jabatan Pertanian negeri nyatakan kos untuk memasang bumbung tersebut," katanya.

No comments:

Post a Comment