Friday, September 28, 2012

kad diskaun

4,934 polis terima kad diskaun

FATIMAH Ghazali (tengah) bersama sebahagian daripada pegawai dan anggota polis Kontinjen Pahang yang menerima 1Malaysia Privilege Card di Kuantan, semalam.
KUANTAN 28 Sept. - Seramai 4,934 pegawai dan anggota polis Kontinjen Pahang menerima 1Malaysia Privilege Card yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membantu meringankan beban perbelanjaan harian mereka.
Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Fatimah Ghazali berkata, pemegang kad itu bakal menikmati diskaun dan tawaran harga istimewa antara lima hingga 25 peratus apabila berbelanja di 20 syarikat rakan niaga yang mengambil bahagian.
"Ini merupakan inisiatif di bawah Strategi Lautan Biru Nasional (NBOS) yang diilhamkan oleh Perdana Menteri sebagai tanda penghargaan kepada anggota polis dan tentera.
"Tawaran kad itu secara tidak langsung dapat meringankan kos perbelanjaan seharian 449 pegawai dan 4,485 anggota yang berkhidmat di negeri ini," katanya pada majlis penyerahan 1Malaysia Privilege Card di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner, T. Narenasagaran; Ketua Jabatan Pengurusan, Asisten Komisioner Junaidi Mashud dan Ketua Trafik negeri, Supritendan Mohamad Fauzi Abdul Rahim.
Tambah beliau, perkhidmatan dan produk yang ditawarkan meliputi perhotelan, makanan, pengangkutan, taman tema, tekstil, produk cermin mata dan alat ganti kenderaan.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana mengilhamkan kad istimewa ini yang pastinya dapat membantu warga polis berjimat ketika berbelanja," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menasihati pegawai dan anggota polis menggunakan kemudahan kad tersebut sebaik mungkin bagi menguruskan perbelanjaan harian keluarga masing-masing.
Katanya, mereka perlu bijak menggunakan kesempatan yang diberikan itu untuk berbelanja dengan berhemat dan menyimpan duit bagi kegunaan masa depan.
"Inisiatif ini memberi peluang kepada anggota membuat tabungan jika mereka bijak menggunakan keistimewaan yang diperoleh," katanya.

No comments:

Post a Comment