Wednesday, September 5, 2012

tc makin padat

Pengunjung merungut kawasan TC semakin sesak, padat
ROSILAWATI ROSEDI
5 September 2012
Pengunjung merungut kawasan TC itu semakin sesak, padat
Kewujudan premis didakwa semakin menyesakkan dan menyempitkan di laluan kenderaan di pantai itu.
Pengunjung merungut kawasan TC itu semakin sesak, padat
Pengunjung terpaksa berjalan ke tepi pantai sebelum dapat melihat keindahan panoramanya.
KUANTAN - Keindahan dan daya tarikan pantai Teluk Cempedak yang menjadi identiti pelancongan di negeri ini khususnya di Kuantan semakin hilang serinya akibat daripada projek pembangunan yang didakwa terkawal.

Majoriti pengunjung mendakwa pemandangan pasir memutih dan lautan biru yang menggamit mereka selama ini sedikit terhalang terutamanya selepas kewujudan dua premis perniagaan baru di situ sejak Julai lalu.

Meja editorial Sinar Harian semalam menerima surat daripada pembaca yang menggelarkan dirinya “Anak Watan” terkilan dengan situasi yang berlaku di lokasi terbabit.

Dalam surat yang diterima, pengadu mendakwa tarikan di pantai itu sudah tidak seperti dulu dan terlindung di sebalik deretan bangunan terbabit.

“Anak Watan” yang mengaku sebagai seorang pencinta alam mendakwa kewujudan premis terbabit mencacatkan pusat pelancongan utama negeri dan mempersoalkan tindakan pihak berkuasa yang didakwanya tidak melakukan kajian serta mendapatkan pandangan awam sebelum sesuatu projek dilakukan.

Tinjauan Sinar Harian ke atas pengunjung mendapati mereka tidak bersetuju dengan kehadiran bangunan terbabit dan mengharapkan pihak berkuasa lebih peka dengan keperluan yang sewajarnya di lokasi terbabit.


Pemandangan pantai terhalang

Bagi seorang penyelia, Azlin Abdul Rashid, 27 dari Kuantan yang juga seorang pengunjung setia ke pantai tersebut setiap minggu, mengakui terkejut selepas melihat bangunan tersebut tersergam di hadapan pantai itu.

Menurutnya, sebelum ini pemandangan indah pantai dapat dilihat dari jauh tanpa sebarang halangan, namun kini pengunjung terpaksa berjalan hingga ke tepi pantai untuk menikmatinya.

“Saya sedikit terkilan dengan situasi ini, mengapa bina bangunan dan biarkan lebih banyak pembangunan di pantai ini sedangkan laluan jalan ke hadapan pantai ini seperti semakin sesak serta sempit,” dakwanya.

Pandangan sama turut diluahkan oleh seorang pengusaha kecantikan, Yeo Sook San, 26 yang turut terkejut apabila melihat bangunan baru yang terbina di depan pantai tersebut.

Menurutnya, dia dan keluarganya sering ke pantai itu dan sedikit kecewa kerana pemandangan indah yang dinikmati pengunjung luar dan dalam negeri sedikit terganggu.

“Sepatutnya, kalau nak bina dan wujudkan bangunan baru, pilih lokasi yang lebih sesuai dan sedikit jauh dari kawasan pantai.

“Malah saya rasa seperti kurang selamat, begitu banyak pembangunan ada di sini sedangkan ia menjadi tumpuan penduduk Kuantan dan sekitarnya setiap masa,” dakwanya,


Pengunjung luar terkejut

Bagi pengunjung luar dari Kuantan seperti Abdul Rani Abdul Rahman, 54 dari Kemaman, Terengganu, dia kurang selesa dengan pemandangan sesak di kawasan pantai tersebut.

Menurutnya, dia mengharapkan suasana yang tenang, luas dan boleh dinikmati tanpa banyak gangguan walaupun mengakui kemudahan seperti premis perniagaan memberikan kemudahan pada pengunjung.

Malah seorang pekerja swasta, Ragunathan, 30 yang berasal dari Sungai Petani, Kedah, dia juga kurang selesa dengan pemandangan tersebut yang dilihat semakin menyesakkan di pantai terbabit.

PIX1: Kewujudan premis didakwa semakin menyesakkan dan menyempitkan di laluan kenderaan di pantai itu.

PIX2: Pengunjung terpaksa berjalan ke tepi pantai sebelum dapat melihat keindahan panoramanya.

No comments:

Post a Comment