Tuesday, September 25, 2012

sungai lipis tercemar

Air bertukar kehitaman
Wartawan Sinar Harian
25 September 2012
Air bertukar kehitaman
Ikan yang mati terdampar di tebing sungai akibat pencemaran.
Air bertukar kehitaman
Sisa yang didakwa dari sebuah kilang disalirkan terus ke Sungai Lipis dekat Kampung Tersang.
RAUB - Penduduk beberapa kampung, di sini, berang apabila sungai di kawasan mereka terus dicemari oleh pihak tidak bertanggungjawab hingga mengakibatkan flora dan fauna musnah.

Seorang penduduk, Amirawa Merah, 40-an, berkata, aktiviti kilang memproses kelapa sawit di Kampung Tersang sejak beberapa tahun lalu yang dijalankan tanpa mengikut piawaian, mendatangkan kemarahan kepada penduduk setempat.

Menurutnya, kilang terbabit didakwa sering membuang sisa cecair terus ke Sungai Lipis.

“Sebelum ini mereka mengalirkan sisa cecair ke anak sungai berdekatan iaitu Sungai Menerut sehingga mengakibatkan hidupan dalam sungai itu musnah termasuk tanaman di tebing sungai yang diusahakan penduduk.

“Beberapa penduduk juga sudah membuat aduan kepada Jabatan Alam Sekitar pada 2008 dan pernah juga disiarkan dalam Sinar Harian,” katanya.

Amirawa berkata, selepas beberapa aduan dibuat, pengurusan kilang itu tidak lagi mengalirkan sisa cecair ke anak sungai berkenaan.

Tukar saliran

Bagaimanapun Amirawa berkata, pihak pengurusan kilang itu membina dua saliran baru terus ke Sungai Lipis mengakibatkan kualiti sungai itu pula terjejas.

“Sejak mereka membuat saliran baru, kualiti air sungai terjejas teruk mengakibatkan penduduk di beberapa kampung tidak dapat meneruskan aktiviti di sungai.

“Jika dulu penduduk kerap mencari siput di tebing sungai, tetapi kini susah mendapatkan siput di kawasan itu lagi,” katanya.

Menurutnya, air sungai juga tidak sejernih dahulu, malah warnanya bertukar seakan kehitaman.

“Kami difahamkan pihak kilang cuma menyediakan satu kolam tadahan dan ia tidak mencukupi untuk menampung pengeluaran sisa cecair. Proses penapisan yang tidak wajar akhirnya menjejaskan alam sekitar.

“Lebih membimbangkan, kami peroleh maklumat daripada sumber yang boleh dipercayai bahawa kilang terbabit melepaskan sisa cecair setiap satu jam sekali,” katanya.

Sekat minat kaki pancing

Amirawa berkata, dia sebagai seorang yang meminati aktiviti memancing sangat terkilan dengan pencemaran yang berlaku di sungai itu.

Menurutnya, penduduk setempat terutama golongan muda juga meluahkan rasa kesal mereka kerana tidak lagi bebas memancing seperti sebelum ini.

“Semalam (kelmarin) saya datang ke sini jam 12.20 tengah hari dan mendapati keadaan tidak menyenangkan apabila beberapa ikan mati terdampar di tepi tebing.

“Sedangkan hidupan dalam sungai itu pun terjejas dan berisiko pupus, bagaimana pula keadaan pada masa akan datang terutama melibatkan penduduk setempat apabila pencemaran itu berterusan tanpa sebarang tindakan,” katanya.

Dia berkata, pihak pengurusan kilang seharusnya memikirkan kebersihan alam sekitar dan bukannya mengutamakan keuntungan semata-mata.

"Mereka juga sepatutnya prihatin dengan penduduk yang menggunakan sungai berkenaan.

“Mereka tidak seharusnya mengabaikan perkara ini dan menganggap penduduk kampung seolah-olah tidak ada nilai langsung untuk diberi perhatian serius,” katanya.

No comments:

Post a Comment