Wednesday, September 5, 2012

ayam terbakar

Tauke ayam rugi RM2 juta
Wartawan Sinar Harian
4 September 2012
Habib Yusuf
Seorang anggota bomba sedang memadamkan sisa kebakaran.
JENGKA 11 - Seorang penternak ayam hanya mampu tersandar melihatkan satu daripada empat reban ayam miliknya yang terletak di Jalan Felda Jengka 11, di sini, terbakar semalam, menyebabkannya kerugian lebih RM2 juta.
Penternak terbabit, Habib Yusuf, 36, berkata, ketika kejadian dia berada di bandar Jengka.
Menurutnya, dia dimaklumkan ladang ternakannya terbakar melalui seorang pekerja yang menghubunginya kira-kira jam 1.24 petang, semalam.
“Apabila saya sampai ke ladang, saya lihat orang ramai berkerumun di situ sambil menjerit meminta seseorang membuat panggilan kepada bomba,” katanya yang enggan gambarnya dirakam.
Api cepat merebak

Habib berkata, api marak terlalu cepat menyebabkan dia tidak dapat berbuat apa-apa melainkan membiarkan rebannya dijilat api.
Katanya, selain reban, turut rentung kira-kira 65,000 anak ayam yang baru sahaja diletakkan dalam reban terbabit empat hari lalu.
"Api marak terlalu cepat dan saya percaya kejadian ini berpunca daripada litar pintas, tambahan reban ini mempunyai banyak bahan mudah terbakar, memudahkan api merebak,” katanya.
Menurutnya, dia reda dengan kejadian itu walaupun terpaksa menanggung kerugian jutaan ringgit.
Nampak asap berkepul-kepul

Sementara itu, seorang pekerja yang enggan dikenali berkata, ketika kejadian, semua pekerja sedang berehat di rumah yang disediakan di kawasan berdekatan.
Katanya, salah seorang daripada mereka kemudiannya ternampak asap berkepul-kepul keluar dari reban ayam berkenaan.
"Kami semua keluar ke tempat kejadian dan berusaha memadamkan api menggunakan air yang diangkut dengan baldi," katanya.
Ketua Balai Bomba Bandar Jengka, Mohd Shaffie Abdul Rahman berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 1.35 petang.
Menurutnya, dua jentera bersama  sembilan anggota dikerahkan untuk mengawal kebakaran tersebut dan api berjaya dikawal dalam masa 15 minit.
“Setakat ini punca kebakaran masih belum dapat dikenal pasti dan pihak kami masih lagi melakukan siasatan,” katanya kepada Sinar Harian.

No comments:

Post a Comment