Thursday, September 13, 2012

pesta bakar lemang

ARKIB : 13/09/2012

Pesta bakar lemang meriah

Sebanyak 3,000 batang lemang berjaya dibakar oleh penduduk Chini pada Pertandingan Pesta Lemang 2012 sempena Aidilfitri di Dewan Serbaguna Bandar Dara Chini, baru-baru ini. - utusan/Mahathir Ali
PEKAN 12 Sept. - Walaupun beberapa hari lagi bulan Syawal akan melabuhkan tirainya, namun kemeriahan Aidilfitri masih lagi dirasai di sana sini.
Masing-masing mengambil kesempatan mengadakan rumah terbuka dan jamuan bagi meraikan Syawal yang hanya datang setahun sekali.
Bukan sahaja setakat rumah terbuka tetapi pelbagai program turut diadakan yang bertujuan mengeratkan hubungan sesama insan.
Berbeza pula dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, Datuk Abu Bakar Harun yang menganjurkan Pesta Bakar Lemang bagi memeriahkan jamuan Aidilfitri di kawasan itu.
Acara kali kelima dianjurkan itu diilhamkan oleh beliau sendiri bertujuan untuk mengetengahkan kaedah berbeza bagi memeriahkan sambutan Aidilfitri di kawasannya.
Pesta berkenaan yang menjadi satu majlis meriah hanya wujud di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini di sini dan menarik penyertaan bukan sahaja golongan muda tetapi juga warga emas.
Abu Bakar ketika ditemui berkata, sebanyak 2,500 batang lemang dibakar pada pesta kali ini yang turut dihadiri lebih 5,000 penduduk di sekitar Pekan dan Kuantan.
Kata beliau, sebanyak 25 pasukan terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), tanah rancangan Felda, kampung tradisi dan agensi kerajaan terlibat dalam pesta itu.
"Tahun ini lebih meriah berbanding sebelumnya kerana penambahan lebih sekali ganda penyertaan daripada penduduk di sekitar DUN Chini.
"Malah, pada kali ini juga, ramai anak muda menunjukkan kesungguhan untuk bersama-sama dengan warga DUN Chini yang lain bagi memeriahkan majlis tersebut," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Hadir sama, anak Perdana Menteri, Mohd. Nizar Najib dan isteri, Nor Sharmila Shaheen.
Tambah beliau, sebanyak 1,000 kilogram (kg) beras pulut digunakan pada program itu bersama dengan 500kg santan.
"Malah, pada majlis ini juga pihak penganjur turut mengadakan cabutan bertuah untuk para peserta dan pengunjung," katanya.
Sementara itu, seorang peserta, Norul Syahril Abdul Rahim, 30, berkata, pertandingan ini menjadi platform kepada masyarakat Chini berkumpul dan bersatu serta membentuk satu keluarga besar.
"Saya berharap supaya program seperti ini dapat diteruskan kerana ia membawa manfaat dan kebaikan kepada masyarakat di kawasan ini," katanya.
Tambahnya, program sebegini lebih memfokuskan kepada perpaduan masyarakat supaya hubungan sesama mereka dapat dikekalkan.
"Bukan sahaja daripada kalangan ahli UMNO yang hadir, malah merapatkan hubungan dengan parti lain di sini," katanya.
Seorang lagi peserta, Hafizah Abdullah berkata, wanita turut menyertainya kerana mereka boleh membantu dalam merapatkan hubungan masyarakat.
Tambahnya, ia memberi manfaat dan faedah kepada masyarakat, selain menjadi contoh kepada generasi muda supaya meneruskan amalan itu pada masa depan.
"Diharap acara seperti ini dapat diadakan secara kerap, bukan sahaja pada hari perayaan tetapi setiap masa," katanya.
Seorang pengunjung, Mohd. Shah Khamis, 28, berkata, acara seperti ini perlu diperhebatkan lagi kerana ia mampu menjadi platform kepada anak-anak muda berkumpul dan mengeratkan tali persahabatan serta bertukar buah fikiran.

No comments:

Post a Comment