Friday, September 28, 2012

projek fertigrasi

ARKIB : 27/09/2012

Projek fertigasi jana pendapatan

Sebahagian peserta projek menunjukkan hasil sayuran yang diusahakan oleh mereka di tapak projek tanaman fertigasi di Kampung Gelugor, Kuantan, baru-baru ini.
KUANTAN 26 Sept. - Sektor pertanian di negara ini melalui pelbagai perubahan bermula dengan kaedah konvensional sehingga pengeluaran yang memerlukan teknologi tinggi bagi meningkatkan produktiviti dan kualiti tanaman.
Umum menyedari bahawa sektor tersebut kini menjadi semakin penting kerana ia menjadi penyumbang kepada bekalan makanan negara.
Oleh itu, aktiviti pertanian seperti tanaman sayur-sayuran diberi wajah baru dengan suntikan teknologi untuk meningkatkan hasil, lebih selamat dan meminimumkan penggunaan tenaga buruh.
Salah satu daripada teknologi baru yang dibawa masuk ke negara ini ialah sistem fertigasi yang semakin ramai mengetahuinya sebagai gabungan sistem pengairan dan pembajaan secara serentak tanpa menggunakan tanah.
Keunikan kaedah baru ini membuatkan 10 ibu tunggal di Kampung Gelugor di sini mengetengahkan konsep itu dalam penanaman sayuran khususnya terung dan cili.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Gelugor, Mamat Jamil berkata, 10 ibu tunggal di kampung itu dipilih untuk menyertai Projek Tanaman Fertigasi Terung dan Cili yang bermula pada bulan Ramadan lalu.
"Projek tanaman fertigasi ini adalah inisiatif daripada JKKK untuk membantu ibu-ibu tunggal di Kampung Gelugor ini menjana pendapatan mereka menerusi aktiviti pertanian yang dijalankan.
"Benih terung, cili dan khidmat nasihat adalah daripada Jabatan Pertanian negeri yang turut memantau projek ini bagi memastikan hasil tanaman berkualiti.
"Manakala, peruntukan untuk membeli peralatan seperti polibeg dan paip saliran adalah melalui Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Paya Besar dan sehingga kini kita telah menerima sebanyak RM10,000 untuk tujuan itu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Utusan Malaysia selepas lawatan Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail ke tapak Projek Tanaman Fertigasi Terung dan Cili itu di Kampung Gelugor di sini baru-baru ini.
Mamat berkata, selain mendapat khidmat nasihat daripada Jabatan Pertanian, kesemua 10 ibu tunggal terlibat juga telah dihantar ke Cameron Highlands untuk melihat tanaman fertigasi yang dibuat di sana.
"Kita telah pun menjual 80 kilogram terung di pasar Jaya Gading dengan harga RM3 sekilogram. Jabatan Pertanian telah menasihatkan supaya menjual kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) jika bekalan mencukupi.
"Cili tidak dapat dijual kerana belum sampai masanya untuk dipetik," katanya.
Sementara itu, Ketua Projek Tanaman Fertigasi Terung dan Cili kampung tersebut, Normah Jaafar, 52, berkata, dia dan ibu tunggal yang lain gembira diberi peluang menyertai projek tersebut.
"Terima kasih kepada Ahli Parlimen (Abdul Manan), Pengerusi JKKK dan Jabatan Pertanian kerana prihatin dengan kebajikan kami para ibu tunggal di kampung Gelugor ini," katanya.

No comments:

Post a Comment