Thursday, October 25, 2012

mohon majukan awah dan tajau

ARKIB : 25/10/2012

Segera maju pekan Tajau, Awah

Saudara Pengarang,

PEMBUBARAN Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka (LKWJ) dan Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara (Dara) yang kedua-duanya terletak di Pahang pada 1996 masih lagi memberi impak negatif terhadap pembangunan mapan di negeri ini.

Saya melihat pembubaran LKWJ di sini perlu diteliti semula memandangkan Lembaga Kemajuan Wilayah (LKW) di kawasan lain masih beroperasi sehingga sekarang.

Sebelum pembubaran LKWJ berlaku, terdapat perancangan membangunkan dua pekan di Maran menjadi pusat pertumbuhan baru iaitu Pekan Tajau dan Pekan Awah

Saya seorang penduduk jati di kawasan ini dapat merasai dan melihat secara langsung perkembangan dua pekan yang sangat strategik ini.

Tidak keterlaluan dikatakan kemajuannya berada pada tahap sifar. Di mana silapnya atau terlepas pandang untuk memberi tumpuan dalam memajukan Bandar Tun Abdul Razak Jengka.

Lokasi Pekan Tajau dan Pekan Awah sangat strategik kerana terletak di lokasi laluan jalan utama Kuantan-Kuala Lumpur serta melalui simpang masuk ke Felda Bandar Tun Abdul Razak Jengka.

Kedua-dua pekan yang dikatakan menjadi pekan kembar Bandar Tun Abdul Razak Jengka itu akan mengambil masa untuk menjadi kenyataan sekiranya program pembangunan di situ tidak dilaksanakan dengan segera.

Walaupun Kerajaan Pusat dikatakan menyediakan peruntukan sebanyak RM50 juta setahun untuk kawasan LKWJ dan Dara ternyata tidak mencukupi untuk menampung pembangunan di kawasan itu.

Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang diwujudkan perlu membantu dan menyediakan peruntukan khas supaya Pekan Awah dan Pekan Tajau malah kawasan lain mendapat peruntukan adil serta seimbang.

Justeru, cadangan pelbagai pihak supaya Kerajaan Pusat mewujudkan agensi baru bagi menggantikan kedua-dua agensi tersebut perlu kerana kawasan terbabit masih dahagakan pembangunan.

Sungguh sayang sekali dua pekan yang dirancang LKWJ itu seolah-olah terumbang ambing tanpa hala tuju yang dapat memberi manfaat besar kepada rakyat Pahang.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pahang/20121025/wp_05/Segera-maju-pekan-Tajau-Awah#ixzz2AMV26JRL
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment