Thursday, October 4, 2012

jambatan sungai lembing siap

ARKIB : 04/10/2012

Jambatan Sungai Lembing dibuka 24 Oktober ini

Sultan Ahmad Shah berkenan beramah mesra dengan murid-murid Sekolah Kebangsaan Nadak dalam lawatan rasmi menyaksikan pembinaan jambatan baru di Kampung Kawah, Sungai Lembing, Kuantan, kelmarin. - BERNAMA
KUANTAN 3 Okt. - Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah bertitah, jambatan yang dibina di Kampung Kawah, Sungai Lembing di sini sejak Mac lalu akan dibuka untuk laluan orang ramai pada 24 Oktober ini.
Baginda bertitah, jambatan jenis 'Bailey' itu merupakan salah satu daripada tiga buah jambatan di Sungai Lembing yang dibina Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) dengan kos keseluruhan bernilai RM35.6 juta.
"Saya bersyukur dengan izin Allah jambatan yang cantik ini akan siap dan boleh memberi kemudahan kepada penduduk. Jambatan dua hala ini juga boleh menampung muatan sehingga 50 tan.
"Saya juga berbangga dan berterima kasih kepada RAJD yang bertungkus-lumus bekerja siang dan malam bagi memastikan pembinaan jambatan ini berjalan lancar sehingga siap dalam masa lapan bulan," titah baginda.
Baginda bertitah demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan rasmi ke jambatan berkenaan di Kampung Sungai Kawah di sini semalam.
Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Ketua Jurutera RAJD, Brigedier Jeneral Datuk Ir. Ab. Nasser Ahmad.
Pembinaan jambatan 'Bailey' di tiga buah kampung iaitu Kampung Kawah, Kampung Kuala Kenau dan Kampung Seberang itu dijalankan bagi menggantikan jambatan kayu yang sering runtuh akibat banjir.
Jambatan selebar 7.35 meter itu dibina lebih tinggi daripada biasa iaitu 10 meter dari aras air sungai dengan kos setiap jambatan iaitu Kampung Kawah RM14.47 juta, Kampung Kenau (RM12.14 juta) dan Kampung Seberang (RM10.14 juta).
Sultan Pahang bertitah, baginda berpuas hati dengan pembinaan tersebut dan yakin dengan kebolehan RAJD yang sebelum ini berpengalaman membina jambatan yang sama di Selancar, Rompin.
"Saya tidak khuatir kerana keupayaan RAJD kerana mereka telah membuktikannya apabila membina jambatan yang sama di Selancar.
"Pada 24 Oktober ini sempena Hari Keputeraan saya yang ke-82, saya akan mencubanya dengan menaiki kenderaan," titah baginda.
Sultan Pahang berharap rakyat tidak perlu risau tentang keselamatan jambatan itu kerana baginda akan mencuba melaluinya terlebih dahulu sebelum dibuka secara rasmi kepada umum.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pahang/20121004/wp_04/Jambatan-Sungai-Lembing-dibuka-24-Oktober-ini#ixzz28MwSoVQV
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment