Thursday, October 11, 2012

pahang maju

Merealisasikan Pahang negeri maju

KUANTAN 10 Okt. - Kerajaan negeri mahu hubungan baik yang terjalin dengan pegawai-pegawai jabatan Persekutuan terus dikekalkan dalam memastikan keperluan rakyat dan negeri ini dapat dipenuhi sebaik mungkin.
Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, untuk itu, mereka diharapkan dapat bekerja dengan penuh berdedikasi bersama agensi di bawah kerajaan negeri dalam merealisasikan matlamat memajukan negeri Pahang dan negara.
''Dalam kita membangunkan rakyat dan negeri, kita berhadapan tiga cabaran utama iaitu globalisasi, nilai dan hubungan pelbagai kaum. Ini cabaran utama dalam kita melaksanakan rancangan pembangunan.
''Apabila sebut pembangunan, kita seboleh-bolehnya mesti menyiapkan rakyat dengan makanan, pakaian dan tempat tinggal, selain perkara yang boleh meningkatkan kualiti hidup seperti bidang seni, sukan dan lain-lain lagi," katanya.
Adnan berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis dialog bersama ketua-ketua jabatan Persekutuan yang berkhidmat di negeri ini di Wisma Persekutuan di sini semalam.
Yang hadir sama Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri, Moh. Samsudin Yusof selaku Pengerusi Koperasi Pegawai dan Kakitangan Wisma Persekutuan Pahang.
Adnan mengalu-alukan majlis dialog seperti itu kerana memberi peluang kepadanya untuk mendengar pandangan daripada semua ketua-ketua jabatan Persekutuan dalam memajukan negeri dan rakyat.
''Sebahagiannya kita selalu bertemu dalam mesyuarat rasmi seperti mesyuarat pembangunan negeri. Cuma majlis seperti ini lebih istimewa kerana ketua-ketua jabatan yang terlibat adalah menyeluruh.
''Macam Jabatan Kimia, Jabatan Audit yang jarang saya bertemu ketua mereka, maka majlis dialog ini adalah peluang untuk mendengar pandangan mereka," ujarnya.
Sementara itu, Adnan berkata, pihaknya akan menubuhkan sebuah mes sebagai lokasi ketua-ketua jabatan untuk bertemu secara tidak rasmi bagi memudahkan interaksi antara mereka.
''Saya kira ini satu pendekatan baharu dalam usaha memberikan khidmat terbaik kepada rakyat kerana dengan adanya mes ini, ketua-ketua jabatan boleh saling bertemu dan bertukar pandangan tentang apa yang boleh dilakukan untuk memantapkan perkhidmatan mereka," ujarnya.

No comments:

Post a Comment