Friday, October 12, 2012

maahad diiktiraf

Lulusan Maahad Tahfiz tetap diiktiraf

KUANTAN 9 Okt. - Mahaad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) melanjutkan tempoh kerjasama dengan Darul Quran di bawah kendalian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sekali gus membolehkan lulusan MTNP mendapat pengiktirafan kerajaan sebagai mana yang dinikmati sebelum ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, setakat ini kerajaan negeri berpuas hati dengan jalinan tersebut yang menyaksikan silibus akademik MTNP dirangka seperti mana yang digariskan pihak Darul Quran.
Katanya, malah secara keseluruhan, pencapaian MTNP sangat membanggakan apabila pelajar-pelajarnya bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik dan hafazan al-Quran malah turut sama aktif dalam aktiviti kokurikulum.
"Malah ada ketikanya pelajar MTNP mengatasi pencapaian pelajar maahad tahfiz yang lain termasuk di bawah Darul Quran dalam pertandingan yang diadakan dan ini sangat membanggakan kita.
"Saya menjunjung kasih kepada Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang ternyata cukup mengambil berat terhadap kemajuan MTNP yang kini menjadi kebanggaan warga negeri ini," katanya yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah MTNP.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MTNP dan Darul Quran bagi tempoh lima tahun yang berlangsung di Kompleks Yayasan Pahang di sini baru- baru ini.
MTNP diwakili Pengarahnya, Datuk Zulkifle Ali manakala Darul Quran pula oleh Pengarahnya, Datuk Paimuzi Yahya.
Hadir sama, Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha dan Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip), Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan.
Sementara itu, ditanya sama ada kerajaan negeri bercadang membuka cawangan MTNP di daerah lain, Adnan berkata, perkara itu memerlukan penelitian lanjut kerana ia bukan sahaja soal kos tetapi yang lebih penting adalah untuk mendapatkan tenaga pengajar yang berkualiti.
Katanya, ini penting supaya kualiti lulusan MTNP sentiasa berada pada tahap yang tinggi seperti mana yang dapat dilihat sekarang apabila pelajar-pelajar ini dibimbing oleh tenaga pengajar terbaik.
"Dalam perkara ini, kerajaan negeri berpuas hati dengan rekod Zulkifle selaku Pengarah MTNP yang mana beliau berjaya melonjakkan pencapaian maahad tahfiz ini ke satu tahap yang membanggakan.
"Kita sedar untuk masuk ke MTNP bukan mudah dan permohonan dari seluruh negeri cukup banyak. Namun saya fikir lebih baik kita kekalkan seperti mana sekarang yang sedang elok bilangannya," ujar beliau.

No comments:

Post a Comment