Thursday, October 4, 2012

mangsa internet

ARKIB : 02/10/2012

Mangsa jenayah Internet rugi RM421,248

KUANTAN 1 Okt. - Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Pahang merekodkan sejumlah RM421,248 kerugian yang dialami mangsa akibat jenayah Internet di seluruh negeri ini bagi tempoh Januari hingga September lalu.
Menurut Pemangku Ketua JSJK Pahang, Deputi Superintendan Muhammad Rizal Kamarudin, jumlah berkenaan membabitkan 110 kes yang dilaporkan oleh mangsa penipuan Internet sepanjang tempoh berkenaan.
Katanya, tiga kes paling banyak mendapat aduan adalah penipuan pembelian barangan melalui laman sesawang dan 'Macau Scam'.
"Kes penipuan gores dan menang menduduki carta ketiga paling banyak dilaporkan di negeri ini dengan semua mangsa terdiri daripada pelbagai kaum dan peringkat usia," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Katanya, bagi kes penipuan pembelian barang melalui laman sesawang, pihaknya menerima 88 aduan daripada mangsa membabitkan kerugian sebanyak RM110,658.30 sepanjang tempoh berkenaan.
Katanya, kebanyakan individu yang menjadi mangsa sindiket berkenaan adalah mereka mahu membeli telefon pintar yang ditawarkan dengan harga murah.
"Dalam kebanyakan kes, sindiket terbabit menawarkan telefon pintar dengan harga semurah RM800 daripada harga sebenar kira-kira RM2,000 ke atas," katanya.
Katanya, bagi kes penipuan Macau Scam, pihaknya menerima 17 aduan membabitkan kerugian berjumlah RM310,590.50.
"Kebanyakan mangsa adalah mereka berusia 30 hingga 40 tahun terdiri daripada lelaki dan wanita bekerjaya.
"Dalam tempoh seminggu lalu, pihak kami menerima dua aduan mengenai kes seperti ini," katanya.
Menurutnya, bagi kes penipuan gores dan menang pula, setakat ini pihaknya membuka lima kertas siasatan.
Jelasnya, sepanjang tempoh itu juga, polis sudah menjalankan 23 tangkapan dan pelbagai barangan dirampas daripada sindiket terbabit.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan jangan mudah terpedaya dengan tawaran barangan diiklankan melalui laman sesawang.
"Jangan mudah terpedaya dengan sebarang panggilan yang mengaku sebagai pegawai bank dan jangan sesekali mendedahkan maklumat akaun peribadi kepada pihak tidak dikenali," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pahang/20121002/wp_03/Mangsa-jenayah-Internet-rugi-RM421248#ixzz28MwmnZ5z
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment