Sunday, October 7, 2012

feista bera

Fiesta Bera berlangsung meriah


ISMAIL SABRI (tengah) beramah mesra dengan sekumpulan kanak-kanak ketika melawat gerai Bank Rakyat pada Fiesta Bera 2012.


BERA - Fiesta Bera yang dianjurkan buat tahun ketiga berturut-turut sejak 2010 berjaya membuka mata orang luar terhadap pembangunan dan keunikan daerah di Pahang itu.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kejayaan Fiesta Bera telah menjadikan daerah Bera semakin dikenali di Malaysia.
"Ramai orang menyangka Bera ini jauh sangat dan tidak maju namun sejak ia dikenali dengan penganjuran Fiesta Bera, semakin ramai orang mengenali Bera," katanya semasa merasmikan Fiesta Bera Siri Ke-3 di Tapak Ekspo Majlis Daerah Bera di sini semalam.
Bera terletak kira-kira 180 kilometer dari Kuantan manakala Temerloh merupakan bandar paling hampir dengan daerah tersebut.
Pada majlis yang sama, Ismail Sabri yang merupakan Ahli Parlimen Bera turut melancarkan Kempen Simpan dan Menang bagi Simpanan- i dan Deposit- i Bank Rakyat.
Turut hadir, Pemangku Pengarah Urusan Bank Rakyat, Datuk Yusof Abdul Rahman dan Ketua Pengarah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Datuk Azizan Mohd. Sidin.
Sementara itu, Fiesta Bera 2012 semalam juga menyaksikan beberapa pertandingan yang menjadi tumpuan ramai seperti pertandingan memasak ikan patin dan gubahan.
Gerai-gerai makanan juga menarik perhatian ramai termasuk gerai Radix Fried Chicken (RFC) yang menyajikan menu ayam organik goreng dan minuman berkhasiat keluaran syarikat Darul Rahmat Sdn. Bhd.
Pada sebelah malam, pengunjung dihiburkan dengan Konsert Fiesta Bera 3 - MyIPO melibatkan 25 orang artis tempatan, antaranya, Datuk M. Daud Kilau, Ani Mayuni, Saida AF, Anzalna, Dafi, Kumpulan Forteen, Ali Terra Rossa, Kelvin Lau manakala Abon dan Didie Alias selaku pengacara.

No comments:

Post a Comment