Friday, October 5, 2012

tc nampak batu bukan pantai

ARKIB : 05/10/2012

Kesal bangunan halang keindahan pantai

SAMA ada pernah berkunjung ke Teluk Chempedak atau tidak, pasti ramai rakyat negara ini yang mengenalinya sebagai kawasan pantai peranginan yang cantik dan bersih.
Sebagai pencinta keindahan, saya dan keluarga menjadikan Teluk Chempedak destinasi kegemaran kerana dapat menikmati pemandangan lautnya yang membiru dan pantainya yang memutih.
Sebaik menuruni bukit selepas persimpangan padang golf, mata kami terus terpaku kerana dari saat itu kita sudah dapat menikmati keindahan pantai tersebut yang tiada tolok bandingnya.
Malah, saya yakin itulah yang menarik perhatian pelancong luar negara kerana mereka sentiasa mendambakan alam semula jadi yang tidak disentuh dengan unsur-unsur yang boleh mencemarkan keasliannya.
Namun sayang seribu kali sayang sewaktu kami berkunjung ke Teluk Chempedak baru-baru ini, apa yang menyambut pandangan mata bukan lagi laut yang membiru tetapi sebuah bangunan batu yang mencacatkan pemandangan.
Saya berasa kesal kerana sebuah bangunan batu yang kaku boleh dibina di mana-mana tetapi keindahan dikurniakan Ilahi tidak dapat ditandingi pihak yang tidak bertanggungjawab.
Bangunan itu bukan sahaja nampak ganjil di situ tetapi telah mencacatkan pusat pelancongan utama negeri Pahang tersebut.
Persoalannya, tidakkah pihak berkuasa berfikir panjang dan membuat kajian atau meninjau pendapat orang lain terlebih dahulu sebelum memberi kebenaran membina bangunan itu.
Sepatutnya pandangan pihak-pihak seperti Jawatankuasa Pembangunan Negeri, Jawatankuasa Pelancongan Negeri, Persatuan Pelancong dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diambil kira untuk membina bangunan seperti itu.
Sehubungan itu, saya mencadangkan kepada kerajaan negeri supaya bangunan itu dirobohkan demi menjaga reputasi Teluk Chempedak.
Janganlah keghairahan terhadap sumber kewangan sampai mengaburi mata mereka terhadap kepentingan keindahan yang dianugerahkan oleh Allah SWT.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pahang/20121005/wp_04/Kesal-bangunan-halang-keindahan-pantai#ixzz28ShGnmGZ
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment