Friday, August 3, 2012

uitm baru

Terima kasih kepada PM, bina kampus UiTM di Raub

3 Ogos 2012

RAUB - Penduduk di daerah ini berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak kerana meluluskan pembinaan sebuah kampus cawangan Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Raub.

Setiausaha Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Raub Seikh Salehuddin Seikh Abdul Rahim berkata rata-rata penduduk tidak menduga sebuah pusat pengajian tinggi akan dibina di daerah pedalaman itu.

"Kewujudan UiTM itu juga secara tidak langsung memberi perangsang dan galakan kepada para pelajar di daerah ini untuk berusaha ke menara gading sekali gus melahirkan lebih ramai pelajar berkualiti," katanya, di sini hari ini.

Beliau juga yakin pembinaan kampus UiTM itu bakal merancakkan pembangunan setempat dan meningkatkan ekonomi penduduk. Sementara itu, Ketua Pergerakan Wanita Umno Raub Jariah Kasim berkata
pembinaan projek itu menjadikan daerah Raub lebih terkenal dan meningkatkan jumlah penduduknya.

Manakala anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Dong yang juga Ketua Umno Raub Datuk Shahiruddin Ab Moin berkata pelaksanaan projek sedemikian membuktikan kerajaan BN prihatin untuk memajukan bidang pendidikan.

Perdana Menteri ketika berucap pada majlis berbuka puasa bersama warga Raub di Padang Ulu Gali Tengah Rabu lalu, mengumumkan sebuah kampus cawangan UiTM berharga RM230 juta akan dibina di tapak seluas 31.6 hektar di Raub tidak lama lagi.

Kerja-kerja membersih tapak kampus baru itu sedang dijalankan dan pembinaan dijangka siap pada 2015 dengan kapasiti 3,000 pelajar. - Bernama

No comments:

Post a Comment