Thursday, August 30, 2012

rakyat tertipu

Terkejut tanah ada kaveat, didakwa tanggung hutang
Wartawan Sinar Harian
31 Ogos 2012
Terkejut tanah ada kaveat, didakwa tanggung hutang
Dari kiri, Hassan, Sabariah dan Osman menunjukkan geran tanah asal milik mereka dan salinan pelan lokasi tapak tanaman tetapi tidak mempunyai salinan perjanjian dengan agensi te
RAUB  - Peserta tanaman kelapa sawit berkelompok, di sini, tidak berpuas hati selepas mendapat tahu tanah milik mereka yang dipertanggungjawabkan kepada sebuah agensi pembangunan pertanian mempunyai kaveat selepas 20 tahun perjanjian berlalu.

Seorang peserta, Hassan Mat, 65, berkata, lebih 60 penduduk di situ menyerahkan keseluruhan tanah seluas 80.94 hektar untuk dibangunkan dengan tanaman kelapa sawit bermula 1988.

Menurutnya, pada 1989 tanah di Sungai Keleh itu diusahakan dan mula mengeluarkan hasil pada 1993.

“Perjanjian bagi projek perusahaan tanaman kelapa sawit ini berlangsung selama 25 tahun tetapi kami tidak mempunyai sebarang salinan surat perjanjian dan geran asal tapak tanah yang terlibat.

“Sepanjang hasil dijana, kami memperoleh pendapatan secara tunai dua kali setahun, tetapi agensi berkenaan menukar corak pemberian tunai kepada tiga bulan sekali iaitu empat kali setahun bermula 2009,” katanya kepada Sinar Harian.

Hassan berkata, baru-baru ini dia dan isteri, Sabariah Kintong, 60, mendapat tahu tanah terbabit telah di kaveat atas nama Pengurus Besar Negeri dan mereka difahamkan perkara itu terus berkuat kuasa sehingga peserta melunaskan kos selenggaraan perusahaan tanaman kelapa sawit itu.

Katanya, lebih memeranjatkan permohonan kaveat persendirian itu dilakukan pada 2009 iaitu selepas 20 tahun perjanjian dibuat.

“Kami dapat tahu apabila seorang peserta berhasrat menukarkan nama pada geran miliknya itu kepada anaknya tetapi tidak boleh berbuat demikian kerana semua tanah peserta mempunyai kaveat.

“Perkara ini dilakukan agensi berkenaan tanpa memaklumkan kepada kami terlebih dahulu sebagai tuan tanah dan kami rasakan tindakan ini tidak betul sama sekali,” katanya.

Seorang lagi peserta, Osman Tan, 74, berkata, sepanjang projek tanaman itu iaitu sejak 1989, semua peserta langsung tidak menerima sebarang penyata pendapatan termasuk jumlah hasil yang dipotong sebagai kos selenggaraan.

Katanya, selama lebih 20 tahun mereka hanya menerima wang yang diberi beberapa kali setiap tahun tetapi tidak mengetahui jumlah sebenar hutang ditanggung setiap peserta dan berapa jumlah yang sudah dilunaskan setakat ini.

“Sudahlah kita tidak menyimpan salinan perjanjian awal melaksanakan perusahaan ini, kita juga tidak mendapat penyata kewangan yang memaklumkan jumlah perolehan dan potongan hasil bagi tujuan kos selenggaraan.

“Kini kami tidak dapat melakukan sebarang pertukaran nama atau apa sahaja yang berkaitan selepas tanah milik kami ini di kaveat pada 2009, sekali gus menjadikan seolah-olah kami terpaksa menanggung hutang sepanjang hayat dan tanah itu tidak akan diperoleh waris kami,” katanya.

Osman berharap penjelasan telus dan terperinci dilakukan agensi pembangunan pertanian terbabit termasuk memansuhkan arahan kaveat persendirian itu memandangkan tempoh perusahaan sudah melebihi 23 tahun.

Katanya, pada masa sama, peserta terlibat memohon supaya dijelaskan jumlah sebenar hutang yang ditanggung setiap peserta mengikut perjanjian awal dan berapa kos yang sudah dilunaskan serta bakinya.

“Sebahagian peserta ada yang sudah meninggal dunia dan ‘urusan’ mereka masih belum selesai berikutan terdapat hutang yang belum dijelaskan tetapi keluarga juga tidak mengetahui status jumlah keseluruhan hutang itu.

“Perkara ini perlu dijelaskan segera kerana kebanyakan peserta semua sudah berusia dan tidak sewajarnya masih menanggung hutang dengan agensi berkenaan kerana perusahaan sudah menjangkau usia 23 tahun,” katanya.

No comments:

Post a Comment