Friday, August 3, 2012

bekas isteri hampa

Bekas isteri tidak layak
Wartawan Sinar Harian
2 Ogos 2012
Bekas isteri tidak layak
Ismail (dua, kiri) menyampaikan durian runtuh kepada penerima sambil diperhatikan Shahaniza (dua, kanan) dan Saari (tengah).
JENGKA  - Bekas isteri peneroka tidak lagi menetap di tanah rancangan atau berkahwin lain tidak layak menerima durian runtuh fasa kedua walaupun pernah bersusah-payah membangunkan tanah rancangan di awal penubuhannya dahulu.

Pengurus Besar Felda Wilayah Jengka, Saari Din berkata, perkara itu jelas dinyatakan dalam 12 kategori atau kriteria golongan tidak layak menerima durian runtuh fasa kedua tersebut.
“Hanya janda bercerai mati dengan arwah suaminya dan masih mempunyai ikatan perkahwinan tidak menghadapi masalah berhubung pengagihan durian runtuh itu.

“Masalah tidak timbul jika janda terbabit tidak berkahwin lain dan masih tinggal di dalam tanah rancangan sama. Justeru melayakkannya menerima 50 peratus atau sebahagian daripada RM5,000 tersebut,” katanya.

Saari berkata, begitu juga kes di mana peneroka mempunyai lebih daripada seorang isteri.

“Sekiranya peneroka meninggalkan dua isteri, maka isteri-isterinya itu perlu membahagikan durian runtuh ini.

“Namun masalah timbul apabila bekas isteri berkahwin lain. Saya tegaskan, mereka sememangnya tidak layak menerima durian runtuh walaupun pernah duduk dan bersusah-payah di tanah rancangan,” katanya.

Menurutnya, pengurus Lembaga Kemajuan Tanah Persektuan (Felda) di setiap tanah rancangan perlu memainkan peranan mereka untuk memastikan durian runtuh itu diagihkan sebaiknya.

“Sebagai contoh di Felda Jengka 3 baru-baru ini, terdapat cek durian runtuh diletakkan di atas satu nama, tetapi penerimanya pula ada dua.

“Peneroka terbabit sudah meninggal dunia dan mempunyai dua isteri. Bagi mengelak sebarang masalah, pengurus itu membawa mereka menunaikan cek, lalu mengagihkan durian runtuh tersebut secara sama rata,” katanya.

Justeru, beliau sekiranya ada masalah sebegitu di tanah rancangan, pengurus perlu bekerja lebih sedikit untuk memastikan tidak berlaku lagi masalah membabitkan pengagihan durian runtuh.

Dalam pada itu, majlis pengagihan durian runtuh fasa kedua diadakan di Dewan Orang Ramai Felda Jengka 1, semalam.

Penyerahan itu disempurnakan Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abdul Muttalib dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Sentul, Datu Shahaniza Shamsuddin.

No comments:

Post a Comment