Monday, August 20, 2012

rumah terbakar

Reda dugaan hilang rumah
Wartawan Sinar Harian
21 Ogos 2012
Reda dugaan hilang rumah
Soama (dua kiri) ditenangkan ahli keluarga ketika melihat rumah yang dibina 40 tahun lalu musnah dijilat api.
Reda dugaan hilang rumah
Anggota bomba cuba memadam api dan mengawal kebakaran daripada merebak 8 ogos lalu.
TEMERLOH – Lapan beranak yang kehilangan tempat tinggal apabila kediaman mereka di Kampung Pengkalan Jaya, Lebak musnah dalam kebakaran 8 Ogos lalu kini terpaksa beraya dalam keadaan serba kekurangan.

Mohd Adam Abdul Latif, 34, dan isteri Nor Rashidah Mohd Abdul,33, serta enam anaknya kini terpaksa menumpang di rumah kakak Nor Rashidah di Taman Temerloh Jaya sejak lebih seminggu lalu.

Mohd Adam berkata, persiapan menyambut hari raya juga terpaksa bergantung kepada simpati rakan-rakan dan penduduk kampung yang menghulurkan bantuan pakaian kepada anak-anaknya.

“Mujur majikan saya, Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) memahami keadaan saya sekarang dan mereka banyak membantu dari pelbagai sudut,” katanya semalam.

Mohd Adam berkata, sehingga kini bantuan yang diterima hanya cukup untuk digunakan bagi kerja-kerja membaiki pulih kerosakan akibat bencana itu.

“Bantuan daripada kerajaan perlu mengikut prosedur tertentu dan sudah tentu mengambil sedikit masa, tetapi akan dapat juga nanti.

“Bantuan yang banyak diterima setakat ini adalah dalam kalangan orang perseorangan yang menyumbang hasil kutipan derma dan sumbangan peribadi,” katanya.

Mohd Adam berkata, dia juga bersyukur kerana pihak MPT memberi kemudahan jentera berat untuk digunakan bagi kerja menyodok dan membersihkan tapak rumah lamanya.

Menurutnya, ibunya Soama Mat Akil 72, yang juga tinggal bersamanya sebelum ini kini terpaksa tinggal bersama kakaknya di kampung yang sama buat sementara waktu.

Mohd Adam berkata, kejadian yang berlaku 8 Ogos lalu begitu kuat menguji kehidupan keluarganya dan menganggapnya dugaan paling berat untuk dia sekeluarga.

Ini kerana katanya, persiapan menyambut hari raya anak-anaknya seminggu sebelum kejadian musnah sekelip mata.

“Saya sudah siap belikan mereka baju sepasang seorang, memang niat saya untuk beli awal supaya tidak terlalu sibuk di hujung Ramadan,” katanya.

Kejadian 8 Ogos lalu berlaku ketika pemilik rumah, Soama Mat Akil 72, bersama empat cucu iaitu anak Mohd Adam dan menantunya Nor Rashidah Mohd Abdul 33, berada dalam rumah.

Ketika kejadian, dua lagi cucu Soama masih belum pulang dari sekolah manakala anaknya Mohd Adam, sedang bertugas MPT.

Soama berkata, kejadian berlaku ketika dia sedang mencabut rumput di halaman rumah dikejutkan dengan teriakan menantunya dari dalam rumah.

“Saya dengar menantu jerit api dalam rumah, dia kemudian mendukung dua anak dalam bilik air dan dua lagi anak kembarnya keluar dari rumah.

“Masa dia cuba masuk semula untuk selamatkan beberapa barang, api sudah mula marak bermula di bahagian tengah rumah,” katanya,

Sementara itu menantu Soama, Hamidin Mat Isa berkata, pada mulanya dia terdengar bunyi letupan kecil dari arah rumah ibu mentuanya.

“Selang beberapa saat kemudian saya nampak asap, saya masuk ke dalam rumah ambil tiga baldi air siram tetapi api semakin marak, saya cari emak dan kemudian keluar menyelamatkan diri.

“Ketika melarikan diri dari api yang marak, saya lihat anak saudara dan kaum keluarga yang lain dah berkumpul di halaman rumah,” katanya.

Kepada sesiapa yang ingin menghulurkan sumbangan kepada keluarga Saoma dan Mohd Adam boleh terus menyalurkan bantuan kewangan melalui akaun bank BSN Soama di 06400-29-00012419-2 atau berhubung dengan Mohd Adam di talian 014-8128507.

No comments:

Post a Comment