Wednesday, August 3, 2011

bazar ramadan kuantan


Bazar Ramadan jadi pilihan warga Kuantan

MUHAMMAD Khairul Abdul Latiff membakar Murtabak menggunakan dapur panjang di bazar Ramadan berhampiran Stadium Darul Makmur, Kuantan, semalam.

KUANTAN 3 Ogos - Kehadiran Ramadan sememangnya memberi seribu satu kenikmatan yang sangat besar kepada umat Islam.

Bukan itu sahaja, bulan penuh keberkatan ini sentiasa dinantikan kerana segala ibadah yang dilakukan selain berpuasa akan diberikan ganjaran pahala yang berlipat kali ganda.

Malah, satu perkara yang cukup sinonim dengan bulan seribu rahmat ini adalah kewujudan bazar Ramadan yang menyediakan pelbagai juadah berbuka puasa.

Apa yang boleh diperhatikan ialah 'perebutan' di kalangan peniaga yang berlumba-lumba mendapatkan tapak untuk berniaga di bazar bermula kira-kira dua bulan sebelum Ramadan menjelma.

Senario tersebut jelas menggambarkan kehadiran Ramadan mengundang rezeki yang berlimpah ruah terutama kepada peniaga.

Ini kerana, bazar Ramadan dilihat sebagai satu keperluan kerana kebanyakan golongan wanita masa kini adalah bekerja dan tidak mempunyai masa untuk menyediakan juadah berbuka.

Soal sedap atau sebaliknya bukan lagi menjadi persoalan asalkan semuanya terhidang di depan mata dan memudahkan.

Kemeriahan di bazar Ramadan juga menyebabkan golongan suri rumah tidak ketinggalan untuk mengunjunginya walaupun telah menyiapkan juadah berbuka di rumah.

Seolah-olah mengunjungi bazar Ramadan setiap kali tibanya bulan puasa seperti satu kemestian yang tidak boleh dilepaskan.

Segala jenis juadah seperti kuih-muih, lauk-pauk dan minuman yang tidak pernah disajikan selama ini, semuanya muncul.

Bagi seorang kakitangan kerajaan, Farhana Alias, 30, kekangan kerja menyebabkan dia memilih mengunjungi bazar untuk mendapatkan juadah berbuka puasa.

"Kewujudan bazar ini sememangnya memudahkan golongan seperti saya mendapatkan juadah berbuka puasa.

"Bukannya tidak terfikir untuk menyediakan sendiri tetapi masa yang terhad selepas balik kerja kira-kira pukul 5 petang menyebabkan niat untuk memasak terbatal," katanya ketika ditemui di Bazar Ramadan Jalan Stadium di sini semalam.

Menurut Farhana, makanan yang dijual di bazar Ramadan juga semakin berkualiti sejak mendapat pemantauan daripada pihak berkuasa.

Sementara itu, Iskanda Awang Ismail, 43, berkata, dia lebih suka menikmati hidangan yang disediakan isteri di rumah tetapi pada masa sama sering mengunjungi bazar-bazar Ramadan di sekitar bandar ini.

"Saya suka melihat pelbagai juadah menarik terutama kuih-kuih tradisional yang jarang ditemui pada bulan-bulan biasa seperti kuih netbat dan apam baghdad.

"Kadangkala saya membeli juga beberapa juadah sampingan selepas berbuka puasa dengan juadah yang disediakan isteri," ujarnya yang merupakan seorang pekerja swasta.

Bagi Kadir Hussin, 37, dia yang bekerja sebagai pegawai pemasaran akan mengunjungi bazar setiap kali bulan Ramadan.

"Memang sangat wajar bazar-bazar Ramadan diwujudkan kerana ia memudahkan orang ramai yang seharian bekerja mendapatkan juadah berbuka puasa.

"Setiap kali tibanya Ramadan, saya tidak pernah melepaskan peluang mengunjunginya," katanya yang begitu menggemari nasi beriani Pakistan di Bazar Ramadan Jalan Stadium di sini.

Katanya, dengan adanya bazar Ramadan, dia tidak perlu bergegas pulang ke rumah untuk berbuka puasa.

''Seperti tahun-tahun sebelumnya, jika tidak sempat, adakalanya saya berbuka puasa di pejabat bersama rakan-rakan," jelasnya.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment