Thursday, July 28, 2011

upgrade stesen keretapi mentakab


RM950,000 naik taraf kemudahan Stesen Kereta Api Mentakab

Boon Seong (dua kiri) meninjau projek baik pulih gerai di stesen kereta api Mentakab yang menelan belanja hampir RM1 juta.

TEMERLOH 28 Julai - Kerajaan Pusat membelanjakan hampir RM950,000 bagi menaik taraf kemudahan awam berhampiran stesen kereta api Mentakab dekat sini baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mentakab, Datuk Chuah Boon Seong berkata, peruntukan tersebut disalurkan melalui Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) bagi menaik taraf gerai makan, tandas awam dan menurap jalan.

Menurutnya, peruntukan tersebut juga bagi membina benteng penahan tanah di kawasan tersebut yang mendap sebelum ini.

''Kerajaan juga membina dan menaik taraf 22 gerai makan sedia ada di kawasan itu selain membina semula 11 gerai makan yang terlibat dengan mendapan tanah di kawasan tersebut," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Boon Seong memberitahu, peruntukan itu juga meliputi pembinaan bumbung semua gerai terbabit dan menurap semula jalan di hadapan medan selera tersebut.

Beliau berkata, semua kerja pembinaan itu dimulakan sejak bulan lalu dan dijangka siap November ini.

Mengulas dakwaan sesetengah pihak yang menganggap peruntukan itu terlalu besar, jelasnya, jumlah itu meliputi kerja-kerja menaik taraf kedai dan kemudahan asas, bukan hanya untuk pembangunan tembok penahan semata-mata.

Dalam perkembangan berkaitan, Boon Seong menggesa penduduk dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Mentakab terutama perkampungan tradisional Melayu supaya tidak mudah terpengaruh dengan dakyah pembangkang yang cuba memutarbelitkan isu tertentu. Tindakan pembangkang menabur fitnah membuktikan mereka tiada modal untuk menghentam kerajaan.

''Semua pembangunan yang dijanjikan kerajaan dilaksanakan dengan baik hinggakan pembangkang tiada modal dan terpaksa menabur fitnah," katanya.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment