Saturday, July 30, 2011

it percuma


IT percuma buat pelajar

Oleh ALI MAHMOODutusanpahang@Utusan.com.my


Julita Aishah Abdul Latif (tengah) bersama para pelajar selepas merasmikan Pusat Bestari Muda Cawangan Raub di Kampung Pasir Bayam, Mukim Dong, Raub, baru-baru ini.

RAUB 30 Julai - Para pelajar di daerah ini diminta memanfaatkan kemudahan teknologi maklumat (IT) secara percuma yang disediakan di Pusat Bestari Muda di sini.

Cik Puan Muda Pahang, Datuk Seri Julita Aishah Abdul Latif berkata, pusat itu yang ditubuhkan di Kampung Pasir Bayam, Dong dekat sini, menyediakan segala kemudahan pembelajaran yang bertujuan meningkatkan minda dan kemahiran pelajar.

Beliau berkata, kebolehan menguasai IT dengan baik dan berkesan akan dapat membantu mereka mengakses maklumat berkaitan dengan pelajaran secara cepat.

"Dunia yang semakin mencabar memerlukan penguasaan IT yang cekap dan jika gagal menguasainya kita akan tercicir.

"Pembukaan pusat itu secara percuma, ia perlu dimanfaatkan bagi melahirkan lebih ramai pelajar daerah ini yang celik IT dan berjaya dalam pelajaran," katanya ketika berucap pada majlis perasmian pusat itu di kampung tersebut di sini, kelmarin.

Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Dong, Datuk Shahiruddin Ab. Moin.

Pada majlis itu, Julita Aishah turut menyampaikan 1,000 beg galas kepada pelajar terpilih di Mukim Dong.

Pusat Bestari Muda itu adalah cawangan ketiga ditubuhkan selepas Kuantan dan Pekan hasil sumbangan Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah.

Menurut beliau, ibu-bapa perlu menggalakkan anak-anak belajar di pusat tersebut bagi membolehkan mereka mahir dan mampu menguasai IT.

Beliau berkata, 40 unit komputer disediakan di pusat berkenaan bagi manfaat para pelajar.

Sementara itu, Shahiruddin berkata, pembukaan pusat tersebut secara tidak langsung dapat mengelakkan pelajar berpeleseran dan menghabiskan masa lapang dengan melakukan aktiviti yang tidak berfaedah.

No comments:

Post a Comment