Tuesday, June 12, 2012

agro bazar

ARKIB : 12/06/2012

Agro Bazar di Pasar Tani Jerantut

Wan Abdul Aziz Wan Mansor (tengah) bersama Hairrulnizam Othman (kiri) menunjukkan produk FAMA yang terdapat di Agro Bazar Kedai Rakyat di Pasar Tani Jerantut, semalam.
JERANTUT 11 Jun - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) membuka sebuah lagi Agro Bazar Kedai Rakyat di daerah ini dan merupakan yang pertama beroperasi dalam kawasan pasar tani.
Pegawai FAMA Jerantut, Hairrulnizam Othman berkata, seorang peserta, Wan Abdul Aziz Wan Mansor dipilih untuk mengubah suai kedainya yang terletak di dalam kawasan pasar tani yang menelan belanja kira-kira RM30,000.
"Sebuah kedai runcit beroperasi di dalam kawasan pasar tani ini dan kami menawarkan kepada pemiliknya mengubah suai premis tersebut menjadi Agro Bazar Kedai Rakyat dan dia bersetuju," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Hairrulnizam berkata, pengubahsuaian itu menggunakan konsep ditetapkan oleh FAMA dan barangan yang dijual juga adalah hasil keluaran agensi itu, selain produk usahawan kecil dan sederhana (IKS) tempatan serta barangan lain seperti yang terdapat di kedai runcit biasa.
"Kedai rakyat ini tidak menjual barangan basah dan sayur-sayuran seperti kedai rakyat lain kerana ia terletak di dalam kawasan pasar tani. Orang ramai boleh mendapatkan barangan tersebut secara terus di pasar tani berkenaan.
"Kita memberi khidmat nasihat secukupnya kepada pemilik kedai tersebut dan berharap agar pendapatan pemiliknya semakin meningkat selepas kedai lamanya diberi penjenamaan semula oleh FAMA," ujarnya.
Selain itu, beliau mengalu-alukan pemilik premis perniagaan di daerah ini untuk menjadi peserta Agro Bazar Kedai Rakyat dan mereka yang berminat boleh menghubungi pejabat FAMA Jerantut di talian 09-2672925.
Dalam pada itu, Wan Abdul Aziz berkata, dia dan isterinya, Salmah Abdul Wahab bersetuju mengubahsuai kedai mereka menjadi Agro Bazar Kedai Rakyat sebaik dipelawa oleh FAMA.
"Kedai saya kini lebih ceria dengan susun atur barangan dan berjaya menarik lebih ramai pelanggan berbanding sebelum ini.
Bagaimanapun, barangan dijual tidak banyak memandangkan baru beroperasi dan kami akan menambahkannya dari semasa ke semasa ," jelas Wan Abdul Aziz.
Dia memberitahu, FAMA membantunya untuk mengembangkan perniagaan dan melakukan perubahan sepenuhnya terhadap kedai tersebut.

Sunday, June 10, 2012

polis zaman darurat

15 bekas polis zaman darurat terima sagu hati kerajaan

Mohd. Sahfri Abdul Aziz (berdiri tiga dari kanan) bersama 15 bekas anggota polis pada Majlis Penyampaian Sagu Hati Khas di Padang Awam Bukit Bendera, Temerloh, baru-baru ini.
TEMERLOH 10 Jun - Seramai 15 bekas anggota polis pada zaman darurat dan balu mereka yang menetap di daerah ini menerima sumbangan sagu hati khas kerajaan bernilai RM3,000 setiap seorang baru-baru ini.
Sumbangan berkenaan disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah, Perpaduan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Datuk Mohd. Sahfri Abdul Aziz pada majlis khas yang dianjurkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh di sini.
Menurut Mohd. Safri, kerajaan prihatin dengan nasib mereka yang sanggup berkorban dan mempertahankan tanah air dalam menentang komunis.
''Sumbangan itu bertujuan menghargai sumbangan wira negara yang berkhidmat sebagai anggota polis semasa zaman darurat,'' katanya yang mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob selepas menyampaikan sumbangan berkenaan pada satu majlis khas di Padang Awam Bukit Bendera di sini baru-baru ini.
Hadir sama Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd. Nor Mansor dan Pengarah Jabatan Perpaduan Negara Integrasi dan Nasional Pahang, Fairojibanu Zainal Abidin.
Mohd. Sahfri berkata, kerajaan akan berusaha mengesan bekas anggota yang belum menerima sumbangan itu dan mereka berpeluang mendapat sumbangan khas tersebut.
Dalam pada itu, seorang penerima, Talib Said, 80, dari Kampung Batu Kapor, Mentakab tidak menyangka mendapat pemberian ihsan kerajaan kerana pengorbanan mereka selama ini dihargai.
"Kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak begitu prihatin dengan nasib golongan seperti kami kerana beliau menghargai sumbangan pejuang dalam mempertahankan tanah air pada waktu itu,'' katanya.
Seorang lagi penerima, Omar Ahmad, 78, dari Kampung Lebak Seberang di sini terharu dan berterima kasih kepada kerajaan di atas sumbangan tersebut.
Bagi Ketua Cawangan Mentakab Persatuan Bekas Polis Pahang, Lim Hock Ching, 82, kerajaan melakukan tindakan terbaik bagi menghargai pengorbanan polis yang bertugas pada zaman darurat.
Menurutnya, sejak menceburkan diri dalam pasukan polis dari 1953 hingga 1959, pelbagai dugaan dan cabaran ditempuhi demi memastikan keamanan negara.
Seorang penerima, Wahid Tan, 86, dari Taman Mutiara, Mentakab mengakui sangat teruja menerima sumbangan itu kerana dia tidak pernah terfikir memperolehnya setelah bersara dari pasukan polis lebih 40 tahun lalu.

Friday, June 8, 2012

gadis hilang

Ibu rayu Farah pulang segera
Wartawan Sinar Harian
8 Jun 2012
Ibu rayu Farah pulang segera
FARAH NUR WAHEDA SYAFIQA
KERAYONG – “Minta tolong sangat-sangat, sesiapa yang ada terjumpa anak saya, hubungi saya segera atau pihak polis berdekatan. Saya bimbang dengan keselamatan dia.”

Demikian rintihan seorang ibu yang mahu anak gadisnya, Farah Nur Waheda Syafiqa Abd Latif, 23, kembali ke pangkuan keluarga. Farah Nur Waheda Syafiqa didakwa menghilangkan diri sejak Sabtu lalu berikutan berlaku perselisihan faham antara dia dan ibunya.

Menurut Nor Diani Safie, 48, anaknya itu seorang peramah tetapi tidak mempunyai ramai kawan di sini.

“Selepas tamat persekolahan, dia pernah bekerja sebagai pembantu di kantin Kem Batu 10, Kuantan dan selepas berhenti, terus menetap bersama saya di sini.

“Sekarang dia tidak bekerja tetapi membantu saya mengasuh kanak-kanak yang dihantar ke rumah saya,” katanya kepada Sinar Harian.

Difahamkan, kali terakhir Nor Diani menegur anaknya itu pada Sabtu lalu, kira-kira jam 7 malam apabila melihat anaknya yang hanya memakai seluar sukan berwarna hitam dan blaus berbunga merah jambu berada di laman rumahnya.

Katanya, dia bertanyakan anaknya hendak ke mana pada waktu itu, tetapi diberitahu mahu keluar di hadapan rumah sahaja.

“Saya tidak sangka, itulah perbualan terakhir saya dengan anak sebelum dia hilang. Saya telah menghubungi semua saudara-mara dan kawan-kawannya di sini, tetapi tiada seorang pun yang mengetahui.

“Malah, saya juga cuba menghubungi telefon bimbitnya tetapi gagal, begitu juga telah menghantar pesanan khidmat ringkas (SMS), namun tiada jawapan,” katanya.

Bimbang dengan keselamatan anaknya, Nor Diani membuat laporan polis.

Nor Diani berkata, dia ada menerima panggilan telefon daripada anaknya kira-kira jam 1 petang semalam, memberitahu dia dalam keadaan selamat dan kini tinggal di asrama tempat dia bekerja sekarang.

“Dalam perbualan singkat itu, dia langsung tidak memberitahu lokasinya sekarang walaupun saya mendesak.

Bagaimanapun saya bersyukur dia selamat, tetapi kalau boleh saya mahu dia kembali ke pangkuan keluarga,” katanya.

Mereka yang pernah terserempak dengan Farah Nur Waheda Syafiqa boleh menghubungi talian 013-9136450 atau ke balai polis berdekatan.

Tuesday, June 5, 2012

maut

Dakap ayah kali terakhir

Oleh Mohd Fauzi Abdullah
fauzie@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
DETIK PILU...anggota perubatan  memberikan rawatan  kecemasan kepada Muhammad Rizwan sebelum dia meninggal dunia sejam kemudian.
DETIK PILU...anggota perubatan memberikan rawatan kecemasan kepada Muhammad Rizwan sebelum dia meninggal dunia sejam kemudian.
KUANTAN: Seorang bapa tidak menyangka pelukan erat anak sulungnya sebelum mereka bersiar-siar di bandar ini menjadi dakapan terakhir apabila kanak-kanak itu terbunuh dalam kemalangan di Jalan Teluk Sisek berdekatan Dewan Jubli Perak, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, mangsa, Muhammad Rizwan Idris, 8, murid tahun dua Sekolah Kebangsaan Galing, di sini, meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, sejam selepas kemalangan akibat cedera parah di badan.
Difahamkan, ketika kejadian, mangsa bersama bapanya, Idris Badar, 41, serta seorang adik lelakinya berusia dua tahun dalam perjalanan ke Teluk Chempedak untuk makan angin sempena cuti sekolah.

Bagaimanapun, sebaik tiba di tempat kejadian, Perodua Kancil dipandu Idris bergesel dengan sebuah kenderaan dari arah bertentangan menyebabkan ia hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh dua pokok palma di kiri jalan.


Anak bongsu Idris kini dirawat di HTAA akibat cedera di kepala manakala Idris hanya cedera ringan.






Friday, June 1, 2012

jkm terbakar

Pejabat kebajikan terbakar
Wartawan Sinar Harian
1 Jun 2012
Pejabat kebajikan terbakar
Jentera bomba di hadapan bangunan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Raub.
BANDAR RAUB – Tingkat atas Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Raub terbakar ketika semua kakitangannya keluar rehat tengah hari, kelmarin.

Penolong Kanan Penguasa  Bomba Raub, Mohd Kamil Abd Jabbar berkata, dua jentera bomba dan satu kenderaan utiliti dengan kekuatan tujuh anggota ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan daripada orang awam.

Menurutnya, kejadian itu mengakibatkan bahagian belakang bangunan di tingkat atas musnah.

“Kita terima panggilan pada jam 2 petang dan api berjaya dikawal pada jam 2.30 petang,” katanya ketika ditemui Sinar Harian. Mohd Kamil berkata, siasatan mendapati tidak ada seorang pun kakitangan di pejabat berkenaan ketika  kebakaran berlaku.

Katanya, laporan siasatan juga sedang disiapkan bagi mengenal pasti punca kebakaran dan anggaran kerugian.  “Tidak ada sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan. “Setakat ini kita menjangkakan ia berpunca daripada elektrik tetapi punca sebenar masih dalam siasatan,”  katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya memastikan tidak berlaku penggunaan barangan elektrik berlebihan pada satu soket.

helmet percuma

JKJR agih topi keledar percuma
Wartawan Sinar Harian
1 Jun 2012
BANDAR TEMERLOH - Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Pahang mengagihkan hampir 1,000 topi keledar kepada penunggang dan pembonceng motosikal tahun ini.

Pengarahnya, Mohd Zairasyahli Shah Zakaria berkata, jumlah itu akan ditingkatkan lagi pada baki tahun ini dengan anggaran dapat mencapaiatau melebihi edaran tahun  lalu iaitu melebihi 4,000 topi keledar.Menurutnya, ia adalah sasaran jabatan dalam usaha mempelbagaikan kempen keselamatan jalan raya kepada orang ramai di negeri ini.

“Selain topi keledar, JKJR turut mengedarkan risalah keselamatan jalan raya dan baju pantulan cahaya kepada  penunggang dan pembonceng motosikal,” katanya. Beliau berkata demikian kepada media semasa program kempen keselamatan jalan raya di Kilometer 4, Jalan Temerloh-Mentakab, dekat Taman Chengal, di sini, semalam.

Program  anjuran bersama Allianz General Insurance Company (Malaysia) Berhad dan turut mendapat kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan  (JPJ) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM). Turut hadir, Pengurus Kawasan Pantai Timur Allianz Insurance, Tay Tam Huat. Dalam program semalam, JKJR mengedar 1,500 risalah dan 50 topi keledar serta 50 baju pantulan cahaya.

Allianz turut mengedarkan 50 topi keledar, 15 kerusi keselamatan kanak-kanak dan risalah serta  elekat keselamatan jalan raya.

Tam Huat berkata, program itu adalah sebahagian tanggungjawab sosial (CSR) syarikat kepada masyarakat.  Menurutnya, program itu  bermula Julai tahun lalu di seluruh negara dengan pengedaran 550 unit topi  keledar.

“Program pada hari ini adalah yang ke-11 untuk tahun ini dan akan diteruskan di kawasan lain selepas ini,” katanya.

tebang pokok tepi jalan


ARKIB : 01/06/2012

Pokok getah tua di Jalan Cheneras perlu ditebang

POKOK getah tua di tepi Jalan Cheneras berdekatan persimpangan masuk ke Taman Permai semakin condong dan mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya ke bandar Kuala Lipis.
SELAKU pengguna jalan raya yang kerap melalui Jalan Cheneras ke bandar Kuala Lipis, saya terpanggil untuk melahirkan kebimbangan berikutan terdapat beberapa batang pokok getah tua yang semakin condong menghadap ke arah laluan berkenaan.
Sesuai dengan usianya, pohon berkenaan dipercayai sudah mempunyai akar tunjang yang reput kelihatan semakin condong ke arah jalan raya dan malang tidak berbau boleh mengundang kecelakaan kepada penduduk di laluan berkenaan.
Untuk makluman, pokok getah tua itu di tepi Jalan Cheneras berdekatan persimpangan masuk ke Taman Permai, bandar Kuala Lipis sudah semakin condong dan kami berasa bimbang khususnya ketika angin kencang melanda.
Laluan yang dipenuhi pokok tua berkenaan juga membahayakan orang ramai berurusan pada waktu puncak termasuk kepada kanak-kanak pergi balik dari sekolah di bandar Kuala Lipis dan Tempoyang.
Menerusi Rakan Pahang minggu ini, saya mencadangkan agar pokok berkenaan wajar ditebang oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.
Apabila malang menimpa membabitkan nyawa orang yang tidak berdosa, dalam kalangan kita khususnya pihak berwajib memberi pelbagai alasan, termasuk menyerahkan takdir Allah semata-mata, tetapi kewajarannya risiko keselamatan perlu diberi keutamaan sebelum peristiwa buruk menimpa.
Saya selaku bapa kepada anak-anak yang masih kecil dan prihatin kepada insan lain berasa bimbang sekiranya hujan lebat dan disusuli angin kencang melanda kawasan itu dikhuatiri pokok getah itu boleh tumbang sekali gus menghempap kenderaan dan motosikal yang sedang melalui laluan berkenaan.
Risiko keselamatan juga perlu diberi perhatian iaitu pokok berkenaan juga akan menimpa kabel elektrik berdekatan laluan tersebut sekali gus menjejaskan keselesaan penduduk di kawasan perumahan berkenaan.
Saya gamat berharap pihak berwajib dapat menebang dan membersihkan pokok getah itu dengan segera untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
Lagipun, tidaklah salah jika projek pembersihan kayu-kayan yang tua memandangkan keperluan keselamatan awam selain mewujudkan persekitaran bandar Kuala Lipis dan kawasan perumahan yang selamat dan kondusif.
AHMAD TUA
Taman Permai, Kuala Lipis