Wednesday, December 19, 2012

wajar contohi

ARKIB : 18/12/2012

Wajar dicontohi semua pihak - ADUN Guai

Ahli rombongan Sukarelawan Pejabat Perdana Menteri bersama penduduk kampung selepas majlis gotong-royong di Kampung Batu Papan, Bera.
BERA 17 Dis. - Kehadiran pasukan sukarelawan Pejabat Perdana Menteri untuk membantu penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Guai wajar dicontohi kerana kerja-kerja kebajikan bukan sahaja merentasi batas kaum dan agama malah turut melangkaui sempadan negeri dan negara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guai, Nurol Azali Sulaiman berkata, jika terdapat lebih ramai sukarelawan yang mempunyai semangat seperti kakitangan Pejabat Perdana Menteri itu, pastinya hubungan dengan masyarakat luar bandar dapat dirapatkan.
"Sebagai wakil rakyat Guai, saya gembira kerana mereka turut memilih kawasan ini bagi melaksanakan tanggungjawab sosial membantu dan beramah mesra dengan penduduk di sini," kata beliau.
Tambah Nurol Azali, program seperti itu dapat mendedahkan kehidupan masyarakat desa seperti kebudayaan, masakan dan pertuturan yang mungkin asing kepada masyarakat luar.
Katanya, ini kerana pasukan sukarelawan itu juga mempunyai latar belakang yang berbeza apabila berasal dari negeri dan daerah yang berlainan.
Pada majlis itu, Nurol Azali turut mempromosikan keranda pasang siap yang dicipta oleh penuntut Institut Kemahiran Mara (IKM) Alor Setar bagi menjimatkan masa dan memudahkan urusan pengkebumian jenazah.
"Ilham mencipta keranda pasang siap ini datang daripada saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu rakyat negara ini berfikir dari sudut yang bebas.
"Melalui pemikiran seperti itu, kita dapat melahirkan hasil inovasi untuk memenuhi keperluan masyarakat," katanya yang juga Ahli Majlis Mara.
Beliau memberitahu, keranda itu yang mampu menampung berat sehingga 150 kilogram turut dibekalkan dengan kain kapan dan kapur barus.
Katanya, IKM yang menjadi inkubator bagi mempromosikan keranda pasang siap itu telah melantik Koperasi Islamik Malaysia (KIM) untuk memasarkan keranda tersebut kepada umat Islam di negara ini.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pahang/20121218/wp_02/Wajar-dicontohi-semua-pihak---ADUN-Guai#ixzz2FXiFawdn
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment