Wednesday, December 19, 2012

dun guai

ARKIB : 18/12/2012

Staf Pejabat PM 'turun padang' ke DUN Guai

Para pemain daripaada Pasukan Sukarelawan Pejabat Perdana Menteri bergambar dengan pemain pasukan DUN Guai sebelum memulakan perlawanan persahabatan di padang Majlis Daerah Bera.
BERA 17 Dis. - Semangat kesukarelaan sememangnya satu elemen penting dalam komuniti kerana perkara itu dapat membentuk peribadi murni seseorang individu seperti sanggup berkorban untuk membantu orang lain yang ditimpa musibah tanpa mengenal kaum dan agama.
Bersandarkan semangat itu, seramai 40 kakitangan Pejabat Perdana Menteri telah membentuk satu pasukan sukarelawan sejak tiga tahun lalu bagi membantu rakyat yang kurang bernasib baik di seluruh negara.
Pasukan ini telah merantau dan meredah hampir seluruh pelosok negara menemui golongan kurang bernasib baik bagi menghulurkan sumbangan dan tenaga supaya mereka berasa terbela dan diingati.
Baru-baru ini, pasukan sukarelawan Pejabat Perdana Menteri itu menyertai program gotong-royong sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah 1434 peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Guai dalam Parlimen Bera.
Pasukan sukarelawan itu yang diketuai Datuk Mohd. Poad Jelani menjalankan aktiviti membersihkan tanah perkuburan Kampung Batu Papan serta menyampaikan sumbangan kepada penduduk miskin dan peserta majlis berkhatan yang melibatkan 37 kanak-kanak di Durian Tawar.
Menurut Mohd. Poad, program tersebut adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial kakitangan Pejabat Perdana Menteri untuk membantu rakyat miskin dan kurang bernasib baik di seluruh negara.
"Ini adalah tahun ketiga pasukan sukarelawan ini menjalankan pelbagai aktiviti untuk mendekati rakyat miskin supaya kita dapat menyelami dan merasai sendiri kesusahan yang dialami golongan terbabit.
"Dalam tempoh tiga tahun ini kami telah menganjurkan lebih 15 kali program dengan menjelajah beberapa daerah, antaranya membantu masyarakat miskin di Tawau, Pulau Tioman, Sabak Bernam dan beberapa kawasan lain lagi," katanya kepada pemberita pada majlis berkenaan.
Menurut beliau, selain rakyat miskin, kumpulan itu juga membantu mangsa bencana alam seperti mangsa banjir, melawat pesakit di hospital, gotong-royong membersihkan rumah orang tua, rumah kebajikan dan sebagainya.
Katanya, penglibatan sukarelawan kakitangan Pejabat Perdana Menteri itu tidak membabitkan agenda politik sebaliknya dibuat atas kesedaran mereka sendiri untuk turut serta membantu golongan yang kurang bernasib baik.
Sementara itu, salah seorang ahli sukarelawan yang ditemui, Rozilan Salleh berkata, lebih banyak pasukan sukarelawan ditubuhkan adalah lebih baik terutamanya dalam kalangan generasi muda.
"Pasukan sukarelawan ditubuhkan bukan untuk membantu golongan kurang bernasib baik sahaja tetapi dengan sendirinya dapat memupuk semangat patriotisme terutamanya kepada golongan muda bagi mempertahankan asas pembinaan negara.
"Semangat kesukarelaan perlu disemai dan ditanam dalam jiwa generasi muda khususnya dalam konteks masyarakat berbilang kaum di Malaysia," kata Rozilan.
Tambahnya, kesukaran hidup yang terpaksa ditempuhi oleh mereka yang ditimpa musibah, kemiskinan atau disebabkan fizikal yang kurang sempurna dapat memberikan keinsafan kepada ahli sesebuah pasukan sukarelawan.
Secara tidak langsung kata beliau, usaha itu dapat meningkatkan lagi usaha untuk membantu golongan terbabit yang seharusnya dipikul oleh rakyat yang bernasib baik dan bukan mengharapkan kerajaan semata-mata menangani masalah tersebut.
"Menerusi kerja sukarela ini, kita dapat menjiwai semangat orang muda supaya menghormati dan menghargai warga emas kerana suatu hari nanti kita juga akan melalui usia dan pengalaman seperti itu," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pahang/20121218/wp_01/Staf-Pejabat-PM-turun-padang-ke-DUN-Guai#ixzz2FXhurAHt
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment