Wednesday, September 14, 2011

tragedi kuala krau


Tragedi Balai Polis Kuala Krau

Oleh MUSAZLILA MUSTAPAR
utusanktn@gmail.com


GAMBARAN artis Balai Polis Kuala Krau lama yang menjadi serangan komunis pada 1948.

KUALA KRAU 14 Sept. - Tragedi Balai Polis Bukit Kepong di Muar, Johor pada 1950 menjadi satu sejarah hitam setelah 25 anggota polis mati dibunuh akibat diserang komunis.

Tidak dinafikan, tragedi itu amat tragis yang mana pasukan keselamatan mempertahankan balai tersebut bermati-matian sehingga ke titisan darah terakhir menentang kumpulan yang berstatus pengganas.

Namun, tidak kurang juga kejadian sama berlaku di Balai Polis Kuala Krau pada 11 September 1949 sekitar pukul 4 pagi.

Kejadian itu berlaku lebih awal daripada tragedi Bukit Kepong, tetapi tidak ramai yang mengetahuinya.

Kisah tersebut diceritakan oleh Penghulu Mukim Jenderak 1, Zainal Azman (gambar) kepada Utusan Malaysia yang diperoleh daripada Allahyarham Koperal Wok Zainal dan Baharin Md. Duhun.

Menurut Zainal, kedua-dua anggota itu merupakan antara mereka yang bertarung nyawa apabila komunis menyerang di segenap penjuru balai polis dan Pekan Kuala Krau.

Katanya, daripada apa yang diceritakan kepadanya, kira-kira 250 pengganas komunis mengepung balai polis itu sehingga menyebabkan anggota terbabit yang berada di dalam balai tersebut tidak boleh keluar.

"Ketika itu, hanya 30 anggota polis yang ada dalam balai tersebut dan peristiwa berkenaan disedari oleh Baharin yang pada ketika itu sedang membuat rondaan.

"Dalam kejadian tersebut, balai polis itu dikepong dan jalan-jalan utama serta jalan kereta api di sini juga ditawan oleh komunis," katanya di sini, baru-baru ini.

Katanya, kejadian itu menyebabkan seorang isteri pengawal kampung yang mengandung lima bulan dan menyewa sebuah rumah kedai di pekan itu dibunuh kejam bersama ibunya oleh komunis.

Paling tragis, tambahnya, seorang anggota polis bernama Hamzah yang cuma menunggu seminggu sahaja lagi untuk bergelar 'raja sehari' turut terkorban," katanya.

Zainal memberitahu, dalam kejadian tersebut, pengganas komunis masuk ke pekan itu dan merampas semua ubat-ubatan dari sebuah kedai ubat.

Katanya, komunis menembak mati seorang perempuan Cina dan seorang perempuan Melayu yang berada berdekatan kedai ubat berkenaan.

"Kira-kira 30 komunis lagi masuk di Jalan Besar dan menemui dua anggota polis, tetapi mereka dikatakan tidak diapa-apakan dan hanya merampas dua pucuk Rifle serta peluru," katanya.

Jelasnya, setelah itu, stesen kereta api pula menjadi sasaran komunis yang mana terdapat dua pegawai berbangsa Inggeris menjadi mangsa pembunuhan kejam golongan berkenaan.

Zainal berkata, kejadian di balai itu perlu dibanggakan kerana ia berlainan daripada kejadian sama berlaku di Bukit Kepong yang mengorbankan banyak nyawa anggota polis.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment