Monday, August 1, 2011
patriotisme
Pupuk semangat patriotisme
Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
utusanterengganu@utusan.com.my
SEBAHAGIAN kadet membaca doa sempena perasmian Perkhemahan Pertahanan Awam Peringkat Kebangsaan di Bandar Tun Abdul Razak, Jengka, Pahang, baru-baru ini.
MARAN 1 Ogos - Perkhemahan Kadet Pertahanan Awam Malaysia (KPAM) peringkat kebangsaan di sini membabitkan 1,600 anggota berjaya mencapai matlamatnya dalam usaha mengukuh integrasi nasional dan memantapkan dan memupuk semangat patriotisme, disiplin serta nilai kerjasama.
Perkhemahan itu sebagai pentas bagi pelajar bersaing secara sihat dan mengekalkan semangat berpasukan serta setiakawan.
Perkhemahan enam hari baru-baru ini di Pusat Latihan Pertahanan Awam Wilayah Timur (PULAPAT), Bandar Tun Abdul Razak Jengka dekat sini menguji kemahiran kadet dan menilai tahap kemampuan peserta KPAM.
Program itu dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Pertahanan Awam Pahang, Kolonel (PA) Che Othman Hussin.
Hadir sama, Pengarah Pelajaran Pahang, Datuk Mazlan Mohamad, Ketua Sektor Pembangunan Kemanusiaan Jabatan Pelajaran negeri, Mohd. Nadzri Ab. Wahab dan Pengelola Kanan Bahagian Kokurikulum dan Kebudayaan Kementerian Pelajaran, Wan Mohd. Ariffin Wan Hussien dan Timbalan Komandan Pusat Latihan Bomba Wilayah Timur, Hasmi Ghazali.
Che Othman berkata, penyertaan dari pelajar sekolah menengah itu dapat memupuk disiplin dan semangat berpasukan berteraskan toleransi tanpa mementingkan diri sendiri.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan pelajar negeri ini lebih fokus menyertai kegiatan kokurikulum kerana falsafahnya mendidik pewaris bangsa yang patriotik.
Mazlan pula berkata, Kementerian Pelajaran mewajibkan pelajar menyertai kegiatan kokurikulum supaya bersemangat waja, cekal dan tidak mudah terpedaya dengan tohmahan dan fitnah.
Menurut beliau, pelajar yang menganggotai badan beruniform perlu menghayati dan melaksanakan aktiviti dengan bersungguh-sungguh kerana ia memberi impak positif terhadap diri, keluarga dan negara.
''Sebagai contoh pelajar yang menyertai aktiviti kokurikulum mengajar mereka erti kepayahan, rintangan, semangat kerjasama dan cekal menghadapi cabaran tanpa mudah mengalah.
''Elemen inilah yang diperlukan negara apabila mereka menjadi pemimpin dan ahli masyarakat yang memiliki nilai-nilai kemanusiaan sejagat dan mempertahankan maruah bangsa, agama serta negara,'' katanya.
Hasmi pula menyifatkan perkhemahan KPAM sangat berjaya dan menepati matlamat.
''Setiap ahli kadet menjalani pelbagai aktiviti termasuk mendaki Gunung Senyum bagi menguji semangat berpasukan, setiakawan, gigih, cekal menghadapi rintangan," katanya.
Bagi Guru KPAM Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Astaka, Kuantan, Sri Sukma Sumario, 41, pasukan Kadet Pertahanan Awam dapat membentuk masyarakat terutama pelajar melalui pelbagai aktiviti kesukarelaan dan mencerna modal insan lebih dinamik.
''Pembabitan aktif kadet dalam perkhemahan ini dapat memberi kemahiran dalam aspek pertolongan cemas, menghadapi kebakaran dan menyelamat," jelasnya.
Seorang lagi guru SMK Sri Mahkota, Kuantan, Maseri Ismail, 43, berpendapat, pengukuhan falsafah dalam jiwa ahli KPAM akan mendorong mereka memberi perkhidmatan sukarela kepada sesiapa yang memerlukan tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman.
''Di samping itu, kurikulum KPAM menanam semangat kerjasama, bertanggungjawab, berperikemanusiaan, taat setia dan cintakan sekolah,'' katanya.
Sementara itu, pelajar tingkatan lima SMK Padang Piol, Jerantut, Norhana Ahmad, 17, mengakui sangat teruja menyertai perkhemahan tersebut kerana dapat memupuk semangat semangat hormat-menghormati dan kejujuran selari dengan gagasan 1Malaysia.
Dua pelajar SMK Jengka 18 dekat sini, Faridah Zainol, 16, dan Fainur Hidayah Ismail, 17, berkata, aktiviti yang disertai dalam perkhemahan itu dapat mencungkil dan memupuk nilai serta etika kepimpinan yang diperlukan pelajar sebagai persediaan menjadi pemimpin akan datang.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment