Wednesday, August 3, 2011
ikan bakar tempoyak
Pernah rasa ikan bakar tempoyak?
Oleh M. RIZAL NOR
utusanpahang@utusan.com.my
SAIFUL Razman (kiri) melayan pelanggan yang ingin membeli ikan bakar di Bazar Ramadan di hadapan bangunan Majlis Daerah Jerantut, semalam. - utusan/M.Rizal Nor
JERANTUT 3 Ogos – Pahang cukup terkenal dengan masakan berasaskan tempoyak terutama ikan patin.
Tempoyak bukan sahaja disajikan dalam masakan berkuah tetapi turut digunakan dalam menyediakan rempah atau sambal ikan bakar.
Ikan bakar tempoyak merupakan salah satu menu yang terdapat di gerai milik Saiful Razman Abdul Kadir, 30, di Bazar Ramadan berhadapan bangunan Majlis Daerah Jerantut (MDJ), di sini.
Menurut Saiful Razman, rempah yang dicampur dengan tempoyak hanya disediakan bersama ikan patin dan talapia manakala ikan lain menggunakan rempah biasa.
“Saya adunkan sambal bersama tempoyak untuk mencari kelainan dalam menyediakan ikan bakar dan rasanya sangat enak serta sesuai dijadikan juadah berbuka puasa,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Dia yang pertama kali berniaga di Bazar Ramadan itu memberitahu, jualan ikan bakar di gerainya mencecah sehingga 50 ekor sehari.
“Ramai pelanggan yang datang untuk mencuba ikan bakar tempoyak kerana menu ini tidak terdapat di gerai lain," jelasnya.
Menurutnya, ikan talapia dan patin dijual pada harga RM14 hingga RM20, pari (RM8 hingga RM15), terubok (RM25 hingga RM30) dan bawal (RM20 hingga RM25).
Katanya, setiap hidangan ikan bakar di gerainya disertakan air asam dan sambal sebagai pencicah.
Bagi memastikan rasa yang enak dan memenuhi cita rasa pelanggan, Saiful Razman mendapatkan bekalan ikan segar dari Kuantan.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment