Monday, August 8, 2011

ibu tunggal


Memo Editor
Cekal demi anak-anak

PADANG LUAS – Kehidupan sebagai ibu tunggal bukan semudah yang difikirkan segelintir masyarakat lebih-lebih lagi bagi mereka yang tidak pernah mengalaminya.

Namun, bagi Timah Tawang, 63, berkata, sejak berpisah dengan suaminya pada 2002, kehidupannya jauh berubah terutama dari segi ekonomi.

Menurutnya, jika dahulu, dia digelar peneroka wati namun kini dia boleh berbangga apabila mampu berdiri sendiri selain dibantu anaknya yang sudah bekerja.

“Perbezaan hidup dulu dan kini bukan menjadi alasan untuk saya menerima sahaja apa yang yang ditentukan kerana saya percaya, kita perlu bersedia berubah jika mahukan kebahagiaan,” katanya.

Dia berkata, sikap bekas suami yang mengabaikan tanggungjawab terhadap anak mereka terutama anak bongsu yang masih belajar ketika itu menyebabkan dia tidak boleh berdiam diri walaupun bekas suaminya mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh.

Timah berkata, bagi memastikan anak bongsunya mendapat kehidupan selesa dan pendidikan yang sempurna, dia sanggup naik turun mahkamah untuk menuntut harta sepencarian.

Katanya, kepayahan menguruskan kes tuntutan di mahkamah berbaloi apabila penghakiman mengarahkan bekas suaminya membahagikan separuh hasil bahagian bagi semua tanah yang diusahakan di salah sebuah tanah rancangan dekat sini.

“Saya bersyukur apabila mendapat pembelaan sewajarnya demi anak-anak namun hampa dengan sikap bekas suami yang ingkar terhadap arahan tersebut,” katanya.

Menurutnya, oleh sebab proses mendapatkan hak anak-anak dan dirinya mengambil masa yang lama, Timah mengusahakan perniagaan kecil-kecilan dengan membuka kedai runcit dan membuat kuih tradisional.

“Saya berharap, bekas suami dapat mematuhi arahan tersebut demi anak-anak supaya Aidilfitri yang bakal menjelma ini memberi sinar baru bagi kami,” katanya.

No comments:

Post a Comment