Friday, August 5, 2011

gerai rosak


Berpuluh gerai rosak teruk

Oleh HARIS FADILAH AHMADutusanpahang@utusan.com.my


NORHAZIMAH HADI mengemas barang jualannya yang musnah dalam kejadian ribut di pasar malam Pekan Sungai Koyan, Kuala Lipis, kelmarin.

KUALA LIPIS 5 Ogos - Berpuluh-puluh gerai di tapak pasar malam dan Bazar Ramadan Pekan Sungai Koyan, dekat sini rosak teruk akibat dilanda ribut dan hujan lebat malam tadi.

Dalam kejadian pukul 8.15 malam itu, puluhan kanopi berterbangan dipukul angin kencang manakala barang jualan bertaburan di atas tanah dan dalam longkang.

Seorang peniaga sayur-sayuran, Norhazimah Hadi, 22, berkata, kejadian ribut itu merupakan kali pertama dialaminya sejak membantu ibu bapanya berniaga di pasar malam tersebut.

"Ketika angin kencang, keadaan bertambah kelam-kabut dan kedengaran tangisan kanak-kanak dan ada peniaga melaungkan azan," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Menurut Norhazimah, dia dan adiknya sempat memegang payung dan kanopi supaya tidak diterbangkan angin kencang.

Seorang peniaga ikan bakar, Zulhazrul Zaiha, 30, berkata, ketika kejadian, dia pulang ke rumah untuk berbuka puasa sebelum menyambung perniagaan di bazar itu.

"Selepas berbuka puasa, saya bergegas ke gerai di tapak bazar Ramadan itu ketika angin kencang dan hujan lebat melanda.

"Saya baharu tiga hari memulakan perniagaan ikan bakar untuk menambah pendapatan sempena Ramadan ini tetapi musnah dalam sekelip mata sehingga menanggung kerugian sebanyak RM300," katanya.

Peniaga minuman, Jafri Siteh, 44, berkata, dia bersyukur kerana malapetaka berkenaan tidak membabitkan nyawa dan kecederaan ke atas peniaga dan orang ramai.

"Ketika kejadian, kebanyakan peniaga bazar Ramadan pulang ke rumah untuk berbuka puasa dan cuma yang tinggal hanya peniaga pasar malam," katanya.

Jafri menambah, para peniaga terbabit tidak sempat menyelamatkan peralatan perniagaan dan barangan jualan kerana kejadian berlaku terlalu pantas.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment