Monday, August 8, 2011

durian pun kebas


Pencuri kebas tiga durian

MELA - Hantu durian. Itulah gelaran yang sesuai diberikan kepada suspek yang memecah masuk rumah seorang penduduk di Taman Selinsing di sini dan sempat melarikan tiga durian dan tunai RM105.

Mangsa, Mohamed Razali Imam Endol, 61, berkata, dalam kejadian yang berlaku di rumahnya malam kelmarin, suspek turut mengambil kesempatan menjamah nasi dan lauk di dapur sebelum beredar keluar dari rumahnya.

“Pencuri itu sempat membawa lari tiga durian yang baru dibeli di pasar malam di sini selain turut mengambil dompet milik anak saya, Alif Firdaus yang mengandungi tunai berjumlah RM75, kad pengenalan, kad bank dan wang syiling berjumlah kira-kira RM30.

“Ketika kejadian saya bersama isteri, Nor Laila Othman, 49, tidur di bilik utama di bahagian hadapan rumah manakala dua anak lelaki kami keluar bersama rakan mereka,” katanya, di sini, kelmarin.

Mohamed Razali berkata, mereka sekeluarga tidak menyangka kejadian tersebut berlaku di rumahnya kerana tidak ada kesan ketara rumahnya dimasuki pencuri.

“Isteri saya, Nor Laila ada bangun dari tidur untuk pergi ke tandas, namun dia terdengar bunyi pelik dari arah dapur ketika masuk semula ke bilik tidur dan menyangka bunyi kucing.

“Anak kami, Afzuimi, 27, dan Aidil Alif, 25, pulang ke rumah antara jam 1.30 pagi hingga 2.30 pagi semalam dan melihat keadaan rumah bersepah dengan pakaian tidak berlipat.

“Namun, mereka tidak fikir sesuatu yang mencurigakan berlaku di rumah dan hanya masuk tidur ke bilik masing-masing seperti biasa,” katanya.

Mohamed Razali berkata, mereka sekeluarga hanya menyedari rumah mereka dipecah masuk sekitar jam 8 pagi kelmarin apabila Nor Laila mengadu tentang kehilangan beg yang mengandungi buku bacaan serta dompet milik Alif Firdaus.

“Saya menjumpai buku bacaan milik isteri saya bertaburan di dalam longkang di hadapan rumah selain turut menjumpai dompet kosong milik Alif Firdaus,” katanya.

Menurutnya, mereka sekeluarga bersyukur kerana selamat daripada kejadian tersebut selain menyatakan tidak ada kehilangan barangan berharga di rumahnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan mangsa hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah pagi kelmarin untuk membuat laporan polis.

No comments:

Post a Comment