Wednesday, August 10, 2011
dapat rumah
Warga emas dapat rumah
PENDUDUK bersama anggota polis bergotong-royong membaik pulih lantai dan dinding rumah Sadiyah Ismail di Kampung Jerantut Feri, Jerantut, baru-baru ini.
JERANTUT 10 Ogos - Sambutan Ramadan kali ini dianggap paling bermakna bagi seorang warga emas apabila Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memperuntukkan sebanyak RM2,500 untuk membaik pulih rumahnya yang uzur di Jerantut Feri di sini, baru-baru ini.
Usaha membaik pulih rumah Sadiyah Ismail, 61, itu dilakukan secara gotong-royong oleh kakitangan JKM, Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) Jerantut Feri, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut, Pasukan Pelindung, Pusat Asuhan Kanak-Kanak (PAKK) Pedah Jaya dan pelajar Sekolah Tunas Bakti, di sini.
Ibu tunggal yang mempunyai seramai sembilan anak dan 19 cucu itu sebelum ini tinggal di rumah usang warisan keluarga berusia 60 tahun.
Sadiyah ketika ditemui bersyukur kerana projek gotong-royong itu mengubah kehidupannya sekali gus dapat menjalani ibadah puasa dengan selesa pada tahun ini.
"Saya berterima kasih kepada JKM, penduduk dan mereka yang bertungkus lumus membaik pulih rumah ini dan lebih bermakna lagi ia disiapkan pada Ramadan ini.
"Tanpa bantuan ini, mungkin saya tidak ceria dan selesa menjalani ibadat puasa kerana tidak mampu membeli peralatan binaan lantaran pendapatan menjual kuih tidak seberapa," katanya kepada pemberita di Jerantut Feri di sini, kelmarin.
Menurut Sadiyah, kesempitan hidup bermula selepas kematian suaminya, Ismail Hassan tiga tahun lalu akibat serangan jantung dan untuk perbelanjaan harian, dia cuma mampu menjual kuih dan mengambil upah bekerja di restoran.
Dia juga berterima kasih kepada JKM kerana memberi bantuan bulanan sebanyak RM300 sebulan untuk menampung keperluan sepanjang Ramadan dan persiapan Hari Raya Aidilfitri.
Sementara itu, Pegawai JKM Jerantut, Siti Zubaidah Aboo Salihu berkata, program gotong-royong membaik pulih rumah warga emas berkenaan merupakan yang pertama dijalankan pada tahun ini, manakala dua lagi masalah sama akan dilaksanakan di Kampung Hulu Cheka tidak lama lagi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment