Warga Jengka 8 teruja
MARAN 7 Mei - Peneroka di Felda Jengka 8, dekat sini amat teruja apabila tanah rancangan itu dipilih sebagai lokasi untuk pengumuman durian runtuh yang akan disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak esok.Tinjauan Utusan Malaysia di tanah rancangan tersebut mendapati semua persiapan berjalan lancar termasuk khemah besar, tandas dan tapak pameran.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Saharin Othman berkata, pihaknya tidak menyangka Felda Jengka 8 menjadi pilihan untuk menjadi tuan rumah kepada program yang besar itu.
"Kami telah membuat persiapan hampir dua minggu termasuk gotong-royong membersihkan tanah rancangan ini agar ia kelihatan ceria dan cantik kerana lebih 30,000 peneroka dari seluruh negara akan membanjiri kawasan kami," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurutnya, selain tidak sabar menunggu berita durian runtuh, warga Jengka 8 juga sudah lama menanti kehadiran Perdana Menteri yang membuat kunjungan terakhir pada 1984 ketika menggalas jawatan Menteri Besar Pahang.
"Ini adalah kunjungan kedua Perdana Menteri ke tempat kami, jadi kami mahu beliau melihat perubahan yang telah berlaku di sini," ujarnya.
Mengulas mengenai durian runtuh yang bakal diumumkan oleh Najib, seorang peneroka, Muslimin Ngariban, 70, berkata, beliau amat bersyukur kerana perkara tersebut tidak pernah terlintas di fikirannya.
"Saya sangat gembira dan amat bertuah kerana menjadi peneroka kerana begitu banyak kemudahan yang diberikan sejak dari awal penubuhan Felda hingga kini," jelasnya.
Bagi Zainuddin Chu, 63, pula, pemberian durian runtuh merupakan penghargaan paling besar daripada pihak Felda kepada peneroka di seluruh negara.
"Walaupun jumlahnya dirahsiakan, namun saya sangat bersyukur dan pemberian itu nanti akan digunakan sebaik mungkin," katanya yang turut memegang jawatan Ketua UMNO Cawangan Felda Jengka 8.
Sementara itu, Jamilah Hassan, 60, berkata, pemberian durian runtuh kepada peneroka membuktikan Felda amat prihatin kepada semua pesertanya.
"Kami akan pergi umrah beramai-ramai sekiranya durian runtuh itu dalam jumlah yang banyak," kata beliau.
No comments:
Post a Comment