Ribut tinggal kenangan ngeri
22 Mei 2012
Menceritakan kembali detik cemas itu, Abd Manan Daud yang juga Ketua Kampung Kiambang, Ganchong berkata, dia bersama anak lelakinya, Mohd Haneff, 31, sedang makan kira-kira jam 8.20 malam.
Menurutnya, ketika itu, hujan semakin lebat dan ramai pelanggan yang berada di kedai selain orang ramai yang tumpang berteduh di bawah kedai berkenaan ekoran cuaca yang semakin buruk.
“Petir dan kilat sambar menyambar dan semua yang berada di kedai semakin bimbang dan ketakutan apabila hujan semakin lebat dan tidak menunjukkan tanda-tanda untuk berhenti.
“Keadaan ketika itu seperti perang dunia dan orang ramai yang ada di sekitar turut bertempiaran menyelamatkan diri dengan menumpang teduh di barisan kedai berdekatan,” katanya kepada Sinar Harian.
Abd Manan berkata, bekalan elektrik kemudiannya terputus dan keadaan jadi huru hara apabila tiba-tiba angin kuat meranapkan keseluruhan kedai yang dibina sepenuhnya dengan kayu.
“Kejadian tersebut berlaku dalam sekelip mata dan saya tidak ingat apa-apa sebelum terdengar anak memanggil nama saya ketika sedang terbaring di lantai selepas dihempap bumbung dan tiang kayu.
“Keadaan ketika itu menjadi huru hara apabila ramai pelanggan yang dihempap bumbung dan tiang kedai yang runtuh malah penglihatan saya turut terbatas ekoran muka dipenuhi darah kerana mengalami kecederaan di bahagian kepala,” katanya.
Menurutnya, selepas berjaya dipapah keluar daripada runtuhan kedai berkenaan, dia dibawa ke Hospital Pekan bagi tujuan rawatan sebelum dibawa dengan ambulan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan ekoran kecederaan yang dialami agak teruk.
“Dalam keadaan kalut anak saya sendiri tidak menyedari yang dia juga mengalami kecederaan dan menerima jahitan di jari ekoran terkena zink tajam ketika menyelamatkan saya.
“Kejadian itu masih jelas di ingatan namun saya bersyukur kerana terselamat dalam kejadian ribut berkenaan dan mengakui agak fobia apabila bencana berkenaan kerap berulang sejak kebelakangan ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment