Monday, May 7, 2012

3 ratus kompang

Perdana Menteri disambut dengan 300 paluan kompang irama 1Malaysia

MARAN 7 Mei - Seramai 300 generasi baru Felda akan menyambut kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan paluan kompang irama 1Malaysia pada majlis sambutan program Mesra Bersama Perdana Menteri di Felda Jengka 8, esok.
Mereka terdiri daripada wakil 37 buah rancangan Felda Wilayah Jengka yang akan mengalunkan paluan kompang tanda mengalu-alukan pemimpin besar negara pada majlis yang sangat bermakna kepada warga Felda itu.
Pengurus Besar Felda Wilayah Jengka, Sari Din berkata, paluan kompang irama 1Malaysia adalah salah satu aktiviti sambutan program tersebut yang bertujuan untuk mengumumkan durian runtuh hasil penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Bursa Malaysia.
''Perdana Menteri dijangka sampai kira-kira pukul 10 pagi dan disambut puluhan ribu warga Felda dari 11 wilayah Felda di seluruh negara yang setia dan menghargai komitmen Najib terhadap mereka.
''Perdana Menteri akan menyampaikan replika cek kepada setiap Timbalan Pengerusi JKKR Felda Wilayah yang tertera jumlah sebenar yang akan diterima oleh setiap peneroka di kawasan wilayah masing-masing," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau persiapan akhir sambutan Program Mesra Bersama Perdana Menteri di Felda Jengka 8, dekat sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Pengarah Besar Felda (Pembangunan Komuniti), Faizoul Ahmad; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar, Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail dan Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Supritendan Ahmad Johari Shahabudin.
Beliau mengakui Program Mesra Bersama Perdana Menteri antara acara yang mendapat perhatian ramai, khususnya warga Felda termasuk golongan yang menolak penyenaraian FGVH bagi menjawab jumlah sebenar wang yang diterima mereka.
Sementara itu beberapa warga Felda ditemui Utusan Malaysia, Abdul Halim Hamid, 52, dari Felda Jengka 8 sangat berbangga kerana tanah rancangan itu terpilih sebagai lokasi pengumuman jumlah durian runtuh susulan penyenaraian FGVH.
Rakannya, Mohd. Din Hussien, 56, menyifatkan kesudian Perdana Menteri ke Felda Jengka 8 sebagai tuah yang tidak disangka kerana pemimpin nombor satu negara akan memberi tanda aras baru warga Felda.
Seorang usahawan Felda, Abdul Rahman Basri, 49, mahu warga Felda kembali kepada teras budaya masyarakat Melayu yang sentiasa berbudi dan mengenang jasa kerajaan dan Felda.
''Ini kerana ada segelintir warga Felda sudah lupa bahawa kemajuan diri yang dinikmati sekarang bukannya datang secara bergolek tetapi hasil perancangan jitu kerajaan untuk memartabatkan rakyat," katanya.
Ketua Kampung Felda Kota Gelanggi 1, Abdul Rahman Ghani, 45, mahu mana-mana warga peneroka yang memfitnah dan memburuk-burukkan Felda dan Perdana Menteri tidak diberi durian runtuh itu.
Ini kerana tegasnya, mereka tidak jemu-jemu menabur pelbagai fitnah melalui ceramah dan cakap-cakap kedai kopi yang menghasut warga peneroka supaya membenci serta menimbulkan rasa pesimis terhadap Felda dan kerajaan.

No comments:

Post a Comment