Saturday, February 11, 2012

pasar lama tak selamat

Keadaan pasar tidak selamat
ERMA YUSNIDA JUSOH
12 Februari 2012
pasar_rosak
KUANTAN - Setahun lalu, masalah sama pernah diadukan kepada pihak bertanggungjawab namun kini ia berulang kembali menyebabkan peniaga buntu dalam menghadapi situasi tersebut.

Masalah penutup longkang yang kerap kali dicuri pihak tidak bertanggungjawab mengundang pelbagai reaksi daripada peniaga di Pasar Borong Kemunting, di sini.

Bukan satu atau dua tetapi boleh dikatakan 70 peratus penutup longkang yang diletakkan di situ dicuri pihak terbabit.


Pengsan jatuh longkang

Peniaga, Jimmy Wong, 61, berkata, setahun lalu, perkara itu sudah diadukan kepada pihak berkaitan namun tindakan yang diambil tidak menyeluruh menyebabkan masalah tersebut masih belum selesai.

Menurutnya, kes kecurian penutup longkang di pasar tersebut sudah lama berlaku menyebabkan peniaga di situ sudah naik bingung.

“Kegiatan mencuri penutup longkang itu mengundang bahaya kepada orang ramai ekoran keadaan longkang yang terdedah menyebabkan mereka berisiko terjatuh ke ­dalam longkang.

“Lebih menyedihkan apabila berlaku insiden di mana seorang pekerja terjatuh ke dalam longkang itu, kelmarin menyebabkan mangsa pengsan,” katanya ketika ditemui pada Program Seminggu Sejalan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teruntum, Chang Hong Seong bagi meninjau masalah di Pasar Borong Kemunting.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kebersihan, Keindahan Bandar dan Alam Sekitar, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Ngoh Tian Meng.


Infrastruktur kurang memuaskan

Seorang lagi peniaga, Hasneliana Jusman, 35, yang sudah 15 tahun berniaga di situ berkata, infrastruktur di pasar tersebut sudah banyak yang rosak sekali gus mengundang pelbagai kesulitan kepada orang ramai.

Katanya, masalah penutup longkang, kerosakan tandas dan isu bayaran letak kereta antara dilema yang dihadapi mereka.

“Bayaran tempat letak kenderaan yang dikenakan menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan peniaga termasuk pelanggan yang sering mengadu kepada kami.

“Bukan itu sahaja, malah kawasan letak kenderaan bagi lori yang keluar masuk juga tidak mencukupi malah mereka terpaksa bersaing ­untuk mendapat tempat,” katanya.

Katanya, pihak berkuasa perlu memastikan tindakan yang diambil adalah berterusan dan memberi perhatian terhadap setiap aduan yang diterima.


MPK sedia peruntukan sebanyak RM30,000

Sementara itu, Hong Seong berkata, pihaknya menerima aduan daripada peniaga di pasar borong tersebut mengenai masalah longkang dan infrastruktur yang kurang memuaskan.

Katanya, masalah yang sudah berlarutan setahun lalu itu pernah diadukan kepada Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) untuk tindakan lanjut.

Bagaimanapun katanya, hanya sebahagian penutup longkang diganti namun masalah kecurian masih terus berlaku.

“MPK sudah bersetuju untuk menggantikan penutup longkang terbabit melalui peruntukan segera berjumlah RM30,000 dengan ­penutup yang lebih praktikal bagi ­mengelakkan kecurian.

“Selain itu, bilangan lampu jalan juga akan ditambah bagi memudahkan peniaga berurusan di awal pagi,” katanya kepada Sinar Harian.

Hong Seong berharap insiden di mana pekerja terjatuh ke dalam longkang tidak berulang lagi selepas ini dan tindakan akan diambil selewat-lewatnya minggu depan.

Hong Seong turut mengingatkan peniaga dan pekerja di pasar borong tersebut supaya memberi kerjasama dalam aspek penjagaan kebersihan di kawasan tersebut.

orang melayu pemurah

Orang kita terlalu pemurah
WARTAWAN SINAR HARIAN
12 Februari 2012
Orang kita terlalu pemurah
KUANTAN – Murahnya duit kita. Akibat itu, ada golongan yang mengambil kesempatan dengan menyamar sebagai anak yatim, ibu tunggal, atau lebih berani ada yang sanggup jadi cacat semata-mata untuk meraih simpati orang ramai bagi mendapatkan derma.

Atas dasar itu, Sinar Harian cuba menyamar sebagai pengutip derma un­tuk dana rumah anak yatim bagi melihat ‘ketulusan hati’ masyarakat yang sudi menderma kepada insan yang tidak diketahui latar belakangnya.

Tinjauan kami di beberapa pasar raya sekitar Kuantan mendapati ada sesete­ngah pengunjung yang tidak mengendah­kan pengutip derma dan ada juga yang sekadar menghulurkan derma tanpa bertanya sebarang soalan.

Dengan kerjasama pasar raya Terus Maju Batu 6, Jalan Gambang, penyamaran kami hampir satu jam berjaya menarik perhatian pengunjung prihatin yang menghulurkan derma.

Penderma 1

Lebih kurang 5 minit memulakan pe­nya­maran, penulis menghampiri seorang wanita dan memberi salam sebelum me­maklumkan penulis ingin meminta sum­bangan derma untuk rumah anak yatim.

Salam penulis disam­but wanita berkenaan dan tanpa banyak soal, dia menyeluk beg tangan yang dibawanya sebelum mengeluarkan wang se­banyak RM6 serta me­masukkan dalam tabung yang dipegang penulis.

Sejurus itu, penulis terus mem­per­ke­nalkan diri sebagai wartawan Sinar Harian dan menjelaskan tujuan penyamaran serta mendapatkan komen mengenai isu peminta derma ini.

Halimatuzzahrah Hassan, 56, berkata, laporan akhbar beberapa tahun lalu mengenai sindiket yang menggunakan kanak-kanak sebagai pengutip derma menjadikan dia kini lebih berhati-hati ketika ingin menghulurkan derma.

Katanya, sebelum itu, dia antara golo­ngan yang ‘mudah kasihan’ apabila melihat individu menghulurkan tangan meminta derma.

“Tidak dinafikan, dulu saya memang suka memberi derma kepada sesiapa sahaja serta tidak pernah bertanya tentang latar belakang peminta derma.

“Apa yang berada di dalam fikiran saya hanya perasaan kasihan melihat mereka yang terpaksa ‘meminta’ untuk men­dapat­kan sesuap nasi sedangkan kadangkala mereka lebih kaya dari kita,” katanya.

Tambahnya lagi, ada juga antara mereka yang sanggup mengaku anak yatim atau ibu tunggal semata-mata untuk menagih duit orang lain.

“Saya berniaga di pasar malam, memang banyak golongan ini duduk di tepigerai sambil menghulurkan tangan. Ada juga yang sanggup mengaku baru memeluk Islam untuk mendapatkan ihsan orang ramai,” kata­nya.

Sebelum beredar penu­lis me­ngem­balikan wang sumbangannya seba­nyak RM6 itu kepada Hali­ma­tuzzahrah dan wanita itu tetap meng­hulurkan RM1 untuk tabung rumah anak yatim seperti yang dimaklumkan penulis.

“Derma ikhlas dari kakak,” katanya ringkas sebelum berlalu.

Penderma 2

Selang 20 minit kemudian, penulis yang masih berlegar-legar depan pasaraya itu terlihat kelibat seorang lelaki pertengahan usia berjalan menuju ke pintu masuk premis itu.

Sekali lagi penulis memulakan lakonan dengan membuat riak muka yang mengharapkan belas kasihan sebelum menghampiri lelaki berkenaan. Seperti biasa, penulis memulakan sapaan dengan memberi salam dan mengukirkan senyuman ‘kasihan’ kepada lelaki itu sebelum menunjukkan tabung yang dipegang serta mengharapkan dia menghulurkan sumbangan ikhlas.

Tanpa bertanyakan sebarang soalan atau menyelidik latar belakang penulis, lelaki budiman itu terus mengambil wang dari poket baju kemeja yang dipakainya dan memasukkan ke dalam tabung yang dipegang penulis.

Bagi Nordin Mat Husin, 38, 90 peratus pengutip derma yang menghampirinya tidak akan kecewa kerana dia biasanya akan menghulurkan wang walaupun sedikit.

“Mungkin kerana sudah biasa, jadi sesiapa yang datang memang akan diberikan wang biarpun hanya RM1. Bagi saya, niat menderma itu ikhlas. Tipu atau betul, hanya peminta derma itu sahaja yang tahu. Saya hanya menjalankan tanggungjawab sebagai seorang Muslim,” katanya.

Katanya, dia mengakui kesilapan kerana tidak pernah bertanya latar belakang peminta derma.

“Saya memang silap. Sepatutnya saya perlu tanya sekurang-kurangnya mereka dari mana supaya saya tahu ke mana aliran derma yang telah saya beri itu.

“Sikap tidak ambil peduli ini akan menjadikan ‘pengutip derma haram’ semakin bermaharajalela. Akhirnya, kita juga yang tertipu,” katanya.

Seperti wanita tadi, Nordin tetap ‘menghalalkan’ sumbangan derma yang dia masukkan ke dalam tabung setelah mengetahui bahawa wang tersebut akan diserahkan juga penulis kepada rumah anak yatim

Sepanjang sejam jam berada di pasar raya itu, kami turut menerima derma dari pelajar kolej dan universiti.

Penderma 3

Pelajar Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Kuantan, Mohd Azhar Ridhwan, 18, berkata, biasanya dia akan menghulurkan derma sekiranya mempunyai duit lebih.

“Saya biasa jumpa dengan pengutip derma di kedai makan, pasar raya atau di tempat-tempat yang menjadi tumpuan orang awam.
“Kadangkala kasihan juga melihat mereka. Walaupun di akhbar dan televisyen sering menghebahkan tentang sindiket pengutip derma, namun susah untuk saya buang perasaan simpati itu,” katanya.

Katanya, sebagai pelajar dia juga tidak mempunyai banyak wang, namun tetap menghulurkan bantuan sekiranya termampu.

Kesemua sumbangan derma itu berjumlah RM27.20 dan Sinar Harian telah menyerahkan wang derma tersebut kepada Rumah Baitul Husna, Bukit Sekilau.

hadiah besar

Hadiah ‘besar’ menanti kaki pancing
Wartawan Sinar Harian
11 Februari 2012
Hadiah ‘besar’ menanti kaki pancing
KUANTAN – Sebanyak 800 kilogram ikan keli Afrika dilepaskan ke dalam Tasik Taman Bandar Indera Mahkota sempena pertandingan memancing Faizal Joran pada hari ini.

Bezanya kali, ikan keli yang dilepaskan Khamis lalu hanya bersaiz sederhana kerana ikan tersebut mengambil masa tiga bulan untuk membesar.

Penganjur utamanya, Ahmad Hamizan Mohd Din, 25, pelepasan ikan bersaiz sederhana itu dibuat kerana sebelum ini sudah 10 kali pihaknya melepaskan ikan keli dan patin di kolam tersebut dan percaya ikan-ikan berkenaan sudah mula membesar.

Dia yang ebih dikenali dengan nama Faizal dia berkata, berikutan itu dia membuat keputusan bahawa pemancing perlu menaikkan ikan yang sudah dilepaskan sejak tahun lalu.

“Pihak kami berpendapat setelah banyak kali melepaskan ikan yang bersaiz besar namun kali ini kami ingin membuat satu perubahan.

“Perubahan ini supaya ikan dapat membesar dalam tasik sebelum pertandingan akan datang,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, hadiah lumayan iaitu wang tunai bernilai RM25,000 menunggu juara pertandingan, tempat kedua pula berpeluang membawa pulang wang tunai berjumlah RM8,000 dan tempat ketiga pula wang tunai RM4,000.

Selepas beberapa siri acara pertandingan Faizal Joran diadakan sejak tahun lepas, dia turut melakukan beberapa perubahan iaitu hadiah sagu hati merupakan wang tunai untuk mereka yang bertuah.

“Kami menggalakkan peserta hadir bersama keluarga untuk memeriahkan suasana pertandingan berlangsung kerana terdapat acara sampingan.

“Malah, peserta bertuah yang terawal mendaftarkan diri bakal menerima hadiah berupa t-shirt daripada pihak penganjur Faizal Joran,” katanya.

dengar pandangan

Ambil kira pandangan awam

KUANTAN 11 Feb. - MCA Pahang meminta Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) mengambil kira pandangan dan cadangan orang ramai berkaitan pendedahan dokumen Lynas Malaysia Sdn. Bhd. pada awal Januari lalu.

Pengerusinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, AELB perlu mengemukakan maklum balas berhubung perkara itu dalam tempoh terdekat bagi membuktikan ketelusan syarikat yang menjalankan pemprosesan nadir bumi di kawasan Perindustrian Gebeng di sini.

"Kita mahu tahu apa tindakan yang bakal diambil selepas AELB menerima pandangan dan cadangan daripada orang ramai," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco MCA Pahang di pejabat MCA Bahagian Kuantan, di sini semalam.

Tiong Lai berkata, MCA Pahang berpendirian tegas terhadap keprihatinan dan penjagaan isu kesihatan dan keselamatan berkaitan projek Lynas.

Tambahnya, pihaknya telah menubuhkan Jawatankuasa Pemantau Komuniti dengan kerjasama Persatuan Cina Kuantan untuk memantau perkembangan semasa tentang projek itu.

"Jawatankuasa ini juga akan memastikan setiap keraguan terhadap projek Lynas akan diperjelaskan," katanya.

Menurutnya, agensi itu juga seharusnya memberikan penerangan menyeluruh tentang lima syarat yang dikenakan terhadap Lynas supaya orang awam memahami serta tiada pertikaian tentang perkara tersebut.

"Sebelum ini, mereka sedia maklum tentang lima syarat itu. Pun begitu, ia perlu diperjelaskan secara mendalam supaya orang ramai puas hati tentangnya.

"Justeru itu, MCA Pahang mendesak pihak berkuasa termasuk AELB memantau secara teliti projek berkenaan bagi memastikan mereka mengikut syarat yang telah ditetapkan," katanya.

ganti jambatan

Peruntukan RM200,000 ganti jambatan kayu usang


PENDUDUK melalui jambatan usang yang menghubungkan Kampung Orang Asli Sungai Kiol dan Kampung Jeransung di Jerantut, baru-baru ini.


JERANTUT 11 Feb. - Penduduk Kampung Orang Asli Sungai Kiol dan Kampung Jeransung dekat sini gembira apabila kerajaan memperuntukkan sebanyak RM200,000 bagi menggantikan jambatan kayu yang usang di kawasan tersebut.
Seorang penduduk, Norafidah Abd. Aziz, 17, berkata, tindakan kerajaan yang sudi menggantikan jambatan usang itu amat dinantikan oleh penduduk kampung Orang Asli berkenaan.
"Kami sangat gembira apabila mendapat tahu kerajaan meluluskan peruntukan itu kerana penduduk di sini sudah beberapa kali mengalami detik cemas melalui jambatan tersebut sehingga ada yang hampir terjatuh ke dalam sungai," katanya kepada Mingguan Malaysia ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Menurutnya, dia tidak dapat melupakan detik cemas bersama neneknya, Bidah Putih, 55, ketika dalam perjalanan ke kebun pisang mereka yang terletak di Kampung Tekas di situ baru-baru ini apabila hampir terjatuh ke dalam sungai.
"Sebaik sahaja menaiki jambatan berkenaan, secara tiba-tiba beberapa keping papan yang reput jatuh ke dalam sungai dan mujur saya sempat mengelak lubang tersebut," katanya.
Katanya, jambatan baru itu nanti akan memudahkan penduduk menjalani kehidupan harian terutama untuk ke pekan Kampung Jeransang dan kebun berhampiran.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damak, Datuk Lau Lee berkata, peruntukan yang disediakan untuk membaik pulih jambatan tersebut membuktikan kerajaan prihatin untuk membela nasib rakyat.
"Saya yakin semua penduduk di perkampungan Orang Asli Sungai Kiol sangat gembira mendengar berita ini kerana mereka tidak perlu lagi risau dengan keselamatan untuk ke kebun dan kampung seberang sungai," jelasnya.

samun hari siang

Dua penjenayah hati kering
Wartawan Sinar Harian
11 Februari 2012
Dua penjenayah hati kering
MENTAKAB – Dua penjenayah berhati kering sanggup memecah masuk tiga rumah dalam tempoh tiga tengah hari, kelmarin.

Dua lelaki berkenaan yang menaiki sebuah kenderaan sukan pelbagai guna (SUV) jenis Honda CRV dipercayai menggunakan modus operandi meninjau rumah yang pemiliknya keluar bekerja sebelum melakukan kegiatan jenayah tersebut.

Dalam kejadian kelmarin, tiga rumah masing-masing satu di Taman perumahan Bendera Intan, Taman Rimba dan Sempalit di sini dipecah masuk mengakibatkan kerugian lebih RM20,000.

Dalam kejadian yang berlaku di Taman Rimba jam 12 tengah hari kelmarin, seorang pengusaha bengkel kerugian lebih RM20,000 apabila barang kemas dan wang tunai dilarikan selepas penjenayah terbabit memecah masuk kediaman ketika mangsa berada di bengkelnya.
Lai Teck Chee berkata, kejadian berlaku semasa dia sedang bekerja dan kebetulan isterinya Au Kim Fong juga keluar. Isterinya menyedari kejadian apabila pulang kira-kira jam 2 petang.

Menurutnya, dia kerugian lebih RM20,000 apabila barang kemas dan wang tunai dalam tabung besar dilarikan penjenayah terbabit.

“Saya kemudian membuat laporan di Balai Polis Mentakab jam 3 petang,” katanya.
Sementara itu, dua lagi rumah penduduk di Taman Sempalit dan Taman Bendera Intan dipecah masuk dipercayai dilakukan dua penjenayah sama.

Sejam kemudian seorang guru dari Taman Sempalit kerugian lebih RM5,000 apabila barangan berharga dan wang tunai dilarikan penjenayah.

Sementara di Taman Bendera Intan sepasang suami isteri bangsa Cina kehilangan wang tunai RM4,000 dan televisyen juga dipercayai dilakukan kumpulan sama kira-kira jam 2 petang.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Dae­rah (IPD) Temerloh Deputi Superintendan R Sundra­lin­gam mengesahkan kejadian dan pihaknya menerima laporan polis dari salah seorang mangsa.

Menurutnya, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian melaporkan terus ke balai polis berhampiran.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Mentakab, Datuk Chuah Boon Seong yang melawat tempat kejadian semalam menggesa penduduk meningkatkan keselamatan selain lebih peka dengan keadaan sekeliling.

Menurutnya, penjenayah akan mengambil kesempatan apabila penduduk hanya mementingkan diri sendiri dan tidak bercampur dengan masyarakat lain.

rugi

Pengusaha rugi RM20,000
Wartawan Sinar Harian
10 Februari 2012
Pengusaha rugi RM20,000
MARAN - Pengusaha bengkel di sini mengalami kerugian melebihi RM20,000 dalam satu kejadian pecah masuk premisnya, awal pagi semalam.
Pengusaha bengkel, Mohd Zawadi Abdul Wahab, 35, berkata, kejadian itu disedari kira-kira jam 5 petang sewaktu mahu memulakan operasi perniagaan yang kebiasaannya berlanjutan sehingga jam 2 pagi.
“Suspek dipercayai menggunakan besi pencangkuk bagi mengopak pintu belakang bengkel ini,” katanya.
Menurutnya, ketika membuka pintu hadapan bengkel yang bertentangan dengan pintu belakang, dia terkejut apabila mendapati bahagian bawah pintu belakang itu terkopak.
“Saya mula mengesyaki sesuatu berlaku dan segera memeriksa kereta pelanggan yang diletakkan di dalam bengkel.
“Mendukacitakan apabila beberapa komponen bernilai membabitkan empat kereta pelanggan hilang dipercayai dicuri.
“Komponen tersebut ada yang baru sampai mengikut tempahan dan sebahagiannya adalah milik asal pelanggan,” katanya kepada Sinar Harian.
Mohd Zawadi berkata, berdasarkan kesan kopakan di bahagian bawah pintu bela­kang bengkel, suspek dipercayai menggunakan sebuah kenderaan untuk menarik kuat bahagian itu.
Menurutnya, malam sebelum kejadian, bengkel itu menamatkan operasi harian pada jam 2 pagi.
“Saya percayai suspek melakukan kegiatan ini menjelang Subuh kerana difahamkan anggota polis peronda melalui kawasan belakang bengkel pada jam 4 pagi.
“Ini adalah kejadian pecah masuk kedua selepas kali pertama kira-kira lima tahun lalu dan kerugian kali kedua lebih tinggi dan turut membabitkan barang pelanggan,” katanya.