Orang kita terlalu pemurah
12 Februari 2012
Atas dasar itu, Sinar Harian cuba menyamar sebagai pengutip derma untuk dana rumah anak yatim bagi melihat ‘ketulusan hati’ masyarakat yang sudi menderma kepada insan yang tidak diketahui latar belakangnya.
Tinjauan kami di beberapa pasar raya sekitar Kuantan mendapati ada sesetengah pengunjung yang tidak mengendahkan pengutip derma dan ada juga yang sekadar menghulurkan derma tanpa bertanya sebarang soalan.
Dengan kerjasama pasar raya Terus Maju Batu 6, Jalan Gambang, penyamaran kami hampir satu jam berjaya menarik perhatian pengunjung prihatin yang menghulurkan derma.
Penderma 1
Lebih kurang 5 minit memulakan penyamaran, penulis menghampiri seorang wanita dan memberi salam sebelum memaklumkan penulis ingin meminta sumbangan derma untuk rumah anak yatim.
Salam penulis disambut wanita berkenaan dan tanpa banyak soal, dia menyeluk beg tangan yang dibawanya sebelum mengeluarkan wang sebanyak RM6 serta memasukkan dalam tabung yang dipegang penulis.
Sejurus itu, penulis terus memperkenalkan diri sebagai wartawan Sinar Harian dan menjelaskan tujuan penyamaran serta mendapatkan komen mengenai isu peminta derma ini.
Halimatuzzahrah Hassan, 56, berkata, laporan akhbar beberapa tahun lalu mengenai sindiket yang menggunakan kanak-kanak sebagai pengutip derma menjadikan dia kini lebih berhati-hati ketika ingin menghulurkan derma.
Katanya, sebelum itu, dia antara golongan yang ‘mudah kasihan’ apabila melihat individu menghulurkan tangan meminta derma.
“Tidak dinafikan, dulu saya memang suka memberi derma kepada sesiapa sahaja serta tidak pernah bertanya tentang latar belakang peminta derma.
“Apa yang berada di dalam fikiran saya hanya perasaan kasihan melihat mereka yang terpaksa ‘meminta’ untuk mendapatkan sesuap nasi sedangkan kadangkala mereka lebih kaya dari kita,” katanya.
Tambahnya lagi, ada juga antara mereka yang sanggup mengaku anak yatim atau ibu tunggal semata-mata untuk menagih duit orang lain.
“Saya berniaga di pasar malam, memang banyak golongan ini duduk di tepigerai sambil menghulurkan tangan. Ada juga yang sanggup mengaku baru memeluk Islam untuk mendapatkan ihsan orang ramai,” katanya.
Sebelum beredar penulis mengembalikan wang sumbangannya sebanyak RM6 itu kepada Halimatuzzahrah dan wanita itu tetap menghulurkan RM1 untuk tabung rumah anak yatim seperti yang dimaklumkan penulis.
“Derma ikhlas dari kakak,” katanya ringkas sebelum berlalu.
Penderma 2
Selang 20 minit kemudian, penulis yang masih berlegar-legar depan pasaraya itu terlihat kelibat seorang lelaki pertengahan usia berjalan menuju ke pintu masuk premis itu.
Sekali lagi penulis memulakan lakonan dengan membuat riak muka yang mengharapkan belas kasihan sebelum menghampiri lelaki berkenaan. Seperti biasa, penulis memulakan sapaan dengan memberi salam dan mengukirkan senyuman ‘kasihan’ kepada lelaki itu sebelum menunjukkan tabung yang dipegang serta mengharapkan dia menghulurkan sumbangan ikhlas.
Tanpa bertanyakan sebarang soalan atau menyelidik latar belakang penulis, lelaki budiman itu terus mengambil wang dari poket baju kemeja yang dipakainya dan memasukkan ke dalam tabung yang dipegang penulis.
Bagi Nordin Mat Husin, 38, 90 peratus pengutip derma yang menghampirinya tidak akan kecewa kerana dia biasanya akan menghulurkan wang walaupun sedikit.
“Mungkin kerana sudah biasa, jadi sesiapa yang datang memang akan diberikan wang biarpun hanya RM1. Bagi saya, niat menderma itu ikhlas. Tipu atau betul, hanya peminta derma itu sahaja yang tahu. Saya hanya menjalankan tanggungjawab sebagai seorang Muslim,” katanya.
Katanya, dia mengakui kesilapan kerana tidak pernah bertanya latar belakang peminta derma.
“Saya memang silap. Sepatutnya saya perlu tanya sekurang-kurangnya mereka dari mana supaya saya tahu ke mana aliran derma yang telah saya beri itu.
“Sikap tidak ambil peduli ini akan menjadikan ‘pengutip derma haram’ semakin bermaharajalela. Akhirnya, kita juga yang tertipu,” katanya.
Seperti wanita tadi, Nordin tetap ‘menghalalkan’ sumbangan derma yang dia masukkan ke dalam tabung setelah mengetahui bahawa wang tersebut akan diserahkan juga penulis kepada rumah anak yatim
Sepanjang sejam jam berada di pasar raya itu, kami turut menerima derma dari pelajar kolej dan universiti.
Penderma 3
Pelajar Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Kuantan, Mohd Azhar Ridhwan, 18, berkata, biasanya dia akan menghulurkan derma sekiranya mempunyai duit lebih.
“Saya biasa jumpa dengan pengutip derma di kedai makan, pasar raya atau di tempat-tempat yang menjadi tumpuan orang awam.
“Kadangkala kasihan juga melihat mereka. Walaupun di akhbar dan televisyen sering menghebahkan tentang sindiket pengutip derma, namun susah untuk saya buang perasaan simpati itu,” katanya.
Katanya, sebagai pelajar dia juga tidak mempunyai banyak wang, namun tetap menghulurkan bantuan sekiranya termampu.
Kesemua sumbangan derma itu berjumlah RM27.20 dan Sinar Harian telah menyerahkan wang derma tersebut kepada Rumah Baitul Husna, Bukit Sekilau.
No comments:
Post a Comment