Pengusaha rugi RM20,000
10 Februari 2012
Pengusaha bengkel, Mohd Zawadi Abdul Wahab, 35, berkata, kejadian itu disedari kira-kira jam 5 petang sewaktu mahu memulakan operasi perniagaan yang kebiasaannya berlanjutan sehingga jam 2 pagi.
“Suspek dipercayai menggunakan besi pencangkuk bagi mengopak pintu belakang bengkel ini,” katanya.
Menurutnya, ketika membuka pintu hadapan bengkel yang bertentangan dengan pintu belakang, dia terkejut apabila mendapati bahagian bawah pintu belakang itu terkopak.
“Saya mula mengesyaki sesuatu berlaku dan segera memeriksa kereta pelanggan yang diletakkan di dalam bengkel.
“Mendukacitakan apabila beberapa komponen bernilai membabitkan empat kereta pelanggan hilang dipercayai dicuri.
“Komponen tersebut ada yang baru sampai mengikut tempahan dan sebahagiannya adalah milik asal pelanggan,” katanya kepada Sinar Harian.
Mohd Zawadi berkata, berdasarkan kesan kopakan di bahagian bawah pintu belakang bengkel, suspek dipercayai menggunakan sebuah kenderaan untuk menarik kuat bahagian itu.
Menurutnya, malam sebelum kejadian, bengkel itu menamatkan operasi harian pada jam 2 pagi.
“Saya percayai suspek melakukan kegiatan ini menjelang Subuh kerana difahamkan anggota polis peronda melalui kawasan belakang bengkel pada jam 4 pagi.
“Ini adalah kejadian pecah masuk kedua selepas kali pertama kira-kira lima tahun lalu dan kerugian kali kedua lebih tinggi dan turut membabitkan barang pelanggan,” katanya.
No comments:
Post a Comment