Kedai kena pecah masuk lagi
27 Jun 2012
Jika sebelum ini penyamun memecah masuk melalui jeriji besi di belakang kedai, namun kali ini penyamun bertindak memecahkan siling di hadapan dan bahagian dalam kedai untuk menyelinap
masuk.
Pemilik kedai, Zarina Mohamad, 38, berkata, pada mulanya dia tidak mengesyaki sesuatu ketika hendak memulakan operasi perniagaan kira kira jam 6.15 pagi.
Bagaimanapun dia terkejut apabila mendapati bekas duit syiling berada di atas meja pembayaran, sementara laci simpanan wang terbuka.
“Beberapa kepingan siling yang pecah turut bertaburan. Saya segera memeriksa keadaan kedai dan mendapati hanya beberapa jenis makanan ringan dan produk penjagaan diri hilang dipercayai dicuri,” katanya kepada Sinar Harian.
Berikutan kejadian itu, mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Maran.
Zarina berkata, siling di bahagian belakang kedainya dipecahkan, dipercayai penyamun cuba masuk melalui laluan itu.
Bagaimanapun katanya, ruang sempit menyebabkan penyamun gagal berbuat demikian sebelum memecahkan siling di bahagian pintu hadapan kedai untuk masuk.
“Sejak kejadian kali pertama kedai saya dipecah masuk awal April lalu, saya mengambil langkah berjaga-jaga dengan tidak menyimpan wang tunai dan produk berharga dalam kedai termasuk
karton rokok,” katanya.
No comments:
Post a Comment