Monday, January 27, 2014

dailek pahang


TAU DOK AOK ME? 1. Sebenarnya tidak ramai orang dari pantai barat yang tahu bagaimanakah bunyinya dialek atau loghat Pahang. Ini dibuktikan dengan pengalaman saya sendiri menanya rakan-rakan se universiti yang bukan dari pantai timur. Hampir 70% daripada mereka tidak tahu bagaimana bunyinya longhat Pahang malah ada yang menganggap yang orang Pahang tiada dialek atau hanya bercakap seperti orang Johor, Terengganu atau Kelantan. 2. Dialek pahang berbeza-beza dan diklasifikasikan kepada tiga bahagian, iaitu bahagian Pahang Hilir yang meliputi kawasan Pekan dan Rompin. Pahang Tengah meliputi kawasan Maran, Bera, Temerloh dan Chenor. Serta Pahang Hulu iaitu Kuala Lipis, Raub, Jerantut dan Cameron Highland. 3. Berbanding dengan orang Terengganu dan Kelantan, orang Pahang yang berada di luar Pahang samaada menetap, bekerja atau belajar sangat jarang menggunakan dialek mereka kerana khuatir tidak difahami oleh orang luar atau disebabkan inferiority complex. Malah ada di antara mereka seboleh-bolehnya mahu menyembunyikan dialek tersebut dan matlamat mereka selalunya berjaya kerana tiada siapa yang tahu dialek sebenar mereka. Namun mereka akan terkantoi jika ada diantara orang luar tersebut adalah juga orang Pahang! pendek kata biasanya hanya orang Pahang yang dapat kesan bahawa seseorang itu orang Pahang atau tidak melalui cara percakapan mereka. selain itu, jika anda orang Kelantan dan Terengganu, dan anda ingin menyembunyikan dialek anda, anda biasanya kurang berjaya sebab bunyi dan lenggoknya tetap tertonjol. Hal ini berbeza dgn orang Pahang yang lebih mudah menyembunyikan dialek mereka. 4. Dialek Pahang juga sering disalah ertikan sama dengan dialek perak! Walaupun ada diantara intonasinya yang seakan-akan sama namun ia tidak serupa. Sebab itu banyak para pelakon yang berasal dari Pahang kadang-kadang diambil berlakon watak sebagai orang Perak. Tidak seperti dialek-dialek lain contohnya Kedah, Perak, dan sekarang Terengganu dan Kelantan, dialek Pahang amat jarang digunakan dalam filem-filem mahupun drama. Kalau adapun biasanya tidak tepat dan menyerupai dialek Perak. 5. Dialek Pahang juga mengikut pergerakan arus sungai Pahang. Hulu sungai biasanya air deras atau laju maka penduduk hulu Pahang banyak bercakap dalam dialek yang agak laju dan deras. Manakala di Pahang tengah aliran sungainya semakin sederhana jadi begitulah juga dialek yang dituturkan. Di hilir pula dialeknya menjadi lebih perlahan atau dalam bahasa Pahang dipanggil leweh maka begitulah juga dialek mereka.( mengikut kajian seseorang). 6. Dibawah saya lampirkan sebahagian daripada loghat atau dialek Pahang secara umum untuk pengetahuan kawan-kawan yang tidak tahu atau bukan orang Pahang. Ada diantara perkataan di bawah sama penggunaannya di negeri pantai timur lain seperti di Kelantan dan Terengganu namun cara sebutannya adalah berbeza: Bahasa Melayu Piawai / Bahasa Melayu Pahang saya- kawan (kawan), koi, kas, keh, kaweh, kome awak- awok (awak), aok, ork, ka mereka- demeh yang itu- hok tu yang ini -hok ni beritahu -royek, kabo (khabar) rambutan -muktan keluar -keluor (keluar) orang -ora (orang) tidur- reloh buang air besar- ronoh, perot (perut) kenapa ngaper -(mengapa), matnyer plastik- jabir bekas plastik -molor selimut -gebor selalu -senalo, sokmo jenis- jenih (jenis) malas -maleh (malas) letih- kehut, kohot, tok rot gelojoh- polok baiki- bele tilam -lece penuh- mombong di sana -setoho suruh- nyeraya kebas kaki- sesemut, senyor budu- pede tercekik -mengkelan selirat- sengkelik leka -ralik tangis -rahang, lalok pening- oteng bengkak- merenin telekung- mahane Kata Penguat Maksud manis meletiang- sangat manis pahit lepang- sangat pahit tawor heber -sangat tawar itang legang -sangat hitam lawo mat -sangat cantik busuk melantong- sangat busuk ngerlang- sangat cerah wangi merohong- sangat wangi tebal bakut -sangat tebal masang menaung -sangat masam -Al Semantani-

Tuesday, August 20, 2013

lori masuk rumah

Treler rempuh rumah
  • Treler rempuh rumah Treler terbabit dilihat meluru laju lalu merempuh dua rumah menyebabkan rumah terbabit ranap sama sekali.
1 / 1
BERA - Dua keluarga mengalami kerugian hampir RM100,000 apabila sebuah treler merempuh rumah mereka di Kilometer 18, Kampung Durian Tawar berdekatan pondok polis, kira-kira jam 2.15 petang semalam.

Mangsa, Sapura Ismail, 36, berkata, semasa kejadian, dia sedang duduk di sofa berdekatan pintu masuk sambil membaca SMS dihantar kakaknya.

Menurutnya, semasa menoleh ke arah luar, dia melihat treler itu meluru laju ke arah rumahnya menyebabkan dia tidak sempat melarikan diri.

“Saya nampak treler itu meluru laju merempuh bahagian rumah jiran. Sedar-sedar saya sudah tersepit antara dinding dan rak TV. Saya tak boleh keluar kerana hampir separuh kayu menimpa daripada aras pinggang hingga kaki saya,” katanya.

Sapura berkata, mujur pada ketika itu dia sedang memegang telefon bimbit dan cuba menelefon suaminya walaupun dalam keadaan masih trauma, sementara dua anaknya tiada kerana berada di sekolah.

Sementara itu, pemilik kedai runcit dikenali sebagai Yap berkata, ketika kejadian, dia dan bapanya berada di dalam kedai kerana menerima bekalan roti baru.

Katanya, kejadian itu turut membabitkan kereta dan tiga motosikal di situ.

“Lori roti yang diletak di hadapan kedai juga dirempuh, tetapi nasib baik pemandu lori itu berada dalam kedai. Kalau tidak, mungkin dia boleh cedera sebab lori itu tercampak dan terbalik,” katanya.

Sunday, August 11, 2013

program empower

Program Empower mampu tingkatkan pendapatan
RAUB - Program Empower anjuran Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) perlu diperluaskan supaya lebih ramai golongan sasaran memiliki kemahiran tertentu dan dapat meningkatkan pendapatan mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawan dan Kepenggunaan Pahang Datuk Shahiruddin Ab Moin berkata sejak program itu diadakan di Pahang pada 2008, seramai 7,350 orang golongan belia dan ibu tunggal telah mengikuti program berkenaan.

"Modul latihan menerusi program Empower merupakan mekanisme serampang dua mata untuk pembangunan modal insan ECERDC yang memfokuskan latihan membina keusahawanan, selain kecemerlangan akademik," katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata latihan selama 10 bulan itu antaranya melibatkan kursus membuat kuih, menjahit, dandanan, masakan, pendawaian, membaiki paip, teknologi maklumat, perniagaan runcit, pengurusan kaunter dan membaiki telefon bimbit.

"Sejumlah 80 peratus daripada 7,350 orang itu yang mengikuti kursus serta latihan berjaya meningkatkan taraf penghidupan keluarga dengan pendapatan yang lumayan," katanya.

Shahiruddin turut mencadangkan supaya kursus membaiki jentera berat dan kursus kimpalan dapat diadakan bagi membolehkan para belia dan lepasan sekolah mengikuti latihan yang mencabar itu.

"Tidak ramai belia dan pelajar kita yang mengikuti kursus tersebut sedangkan bidang itu boleh memberikan pendapatan lumayan," katanya.

Beliau berkata berdasarkan pasaran, mereka yang mahir dalam bidang itu dibayar gaji lebih RM5,000 sebulan, atau mampu mengusahakan bengkel sendiri yang dapat menjana pendapatan lebih tinggi.

Shahiruddin yakin menerusi program sedemikian, matlamat kerajaan bagi melahirkan rakyat berkemahiran dan berilmu akan mencapai sasaran selain meningkatkan taraf kehidupan mereka. - Bernama

Thursday, August 1, 2013

ceroboh hutan

400 hektar hutan dicerobohi
  • 400 hektar hutan dicerobohi Mohamed Jidi (dua dari kanan) , Mokhtar (kanan), Mohd Zuldin Mat Zin (tiga dari kanan) dan Mohd Zaid Omar (kiri) meninjau tanah tapak Ramsar di Tasik Bera yang dicerobohi oleh peneroka haram yang dipercayai hampir dua tahun lalu.
1 / 1
BERA – Mengejutkan apabila kawasan hutan seluas 400 hektar di sekeliling Tasik Bera yang diisytiharkan Konvensyen Ramsar 1994 sebagai tanah lembap berkepentingan antarabangsa itu dicerobohi tanpa disedari pihak berkuasa.

Timbul persoalan bagaimana kawasan tanah Ramsar yang meliputi keluasan 6,150 hektar itu mudah dicerobohi sedangkan kawasan itu dilindungi dan dijaga oleh kakitangan Jabatan Perhutanan.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, kawasan hutan yang ditumbuhi dengan pelbagai jenis pokok-pokok kayu yang bernilai seperti meranti, tembaga, mersawa, merbau dan nemesu yang berusia ratusan tahun sebelum ini ditebang pihak tidak bertanggungjawab yang kini digantikan dengan pokok sawit.

Seorang penduduk, Mohamed Jidi Yaakob, 55 berkata, berdasarkan kesan penebangan dan pembersihan kawasan yang dicerobohi itu, ia dipercayai dilakukan sejak dua tahun yang lalu dengan menggunakan jentera berat.

“Saya percaya, pihak terbabit mengambil masa yang lama untuk menebang dan membersihkan pokok kayu yang berusia ratusan tahun itu. Tetapi, sepatutnya kelibat jentera berat yang memasuki tanah Ramsar ini dapat dikesan pihak berkuasa.

“Tetapi, dalam tempoh itu, tiada tindakan diambil pihak berkuasa, malah kawasan seluas 400 hektar terus digondolkan dengan rakus semata-mata untuk mengaut keuntungan sendiri,” katanya kepada Sinar Harian.

Thursday, May 23, 2013

pulihkan jalan terbengkalai

Minta pulih segera jalan terbengkalai
Wartawan Sinar Harian
21 Mei 2013
Minta pulih segera jalan terbengkalai
Keadaan jalan bercabang antara jalan lama dengan baru menimbulkan kekeliruan kepada pengguna.
JERANTUT - Orang ramai minta supaya Jalan Timur-Barat berdekatan Kampung Felda Sungai Tekam yang terbengkalai dapat dilaksanakan semula.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Felda Sungai Tekam, Abdul Manaf Abdul Kadir berkata, jalan dijangka siap pada 2007 itu kini terbengkalai.

Menurutnya, jalan itu digunakan 70,000 penduduk di Gugusan Kota Gelanggi, Lepar, Jengka dan perkampungan tradisional.

“Jalan ini jalan utama digunakan penduduk semasa belum negara mencapai kemerdekaan lagi dan merupakan jalan darat utama selain menggunakan jalan air.

“Kita sedih melihat pembinaan jalan ini yang terbengkalai dan harap kerajaan dapat melaksanakan semula projek pembinaan jalan ini untuk keselesaan pengguna,” katanya kepada Sinar Harian.

Abdul Manaf berkata, keadaan jalan itu boleh menyebabkan kemalangan berlaku terutama pada pemandu luar yang tidak mengetahui keadaan jalan di situ.

Menurutnya, beliau  mahu apabila jalan itu siap kelak dapat dimanfaatkan generasi masa depan.

Tuesday, May 7, 2013

ismail sabri menang di bera

Ismail Sabri menang saat akhir
Wartawan Sinar Harian
7 Mei 2013
Ismail Sabri menang saat akhir
Dari kiri: Calon DAP, Yu Man, Ismail Sabri, Mohd Fadil dan Norol Azali meraikan kemenangan yang turut dirai Zakaria (kanan).
BERA - Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Bera (P90), Dun Guai (N37) dan Dun Kemayan (N39) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang bertanding kerusi P90 menewaskan Zakaria Abdul Hamid dari PKR Mohd Wali Alang Ahamad (Bebas) dengan majoriti 2,143 undi.

Pada awal pengiraan undi, Zakaria mendahului BN dan Bebas dengan kelebihan hampir 3,000 undi tetapi apabila saluran ke 90 ke atas tiba di Pusat Pengumpulan Undi, undian Ismail Sabri semakin bertambah bagi memastikan kemenangannya.

Berdasarkan pengiraan itu, ia menunjukkan penurunan bilangan undi majoriti pada PRU kali ini berbanding PRU12 namun jumlah yang mengundi beliau meningkat.

Bagi kerusi Dun Guai, Norol Azali Sulaiman (BN) mendapat 8,320 undi menewaskan Musaniff Ab Rahman (Pas) yang mendapat 5,922 undi dengan majoriti 2,398 undi.

Angka tersebut menunjukkan peningkatan undi majoriti dari 1,941 pada PRU12 kepada 2,398 undi dan hanya 184 undi rosak dilaporkan.

Sebelum ini, Norol Azali dijangka menghadapi kesulitan kerana terpaksa berhadapan calon Pas, namun bilangan undi bertambah apabila lebih banyak peti undi dibawa pusat terbabit.

Seperti Norol Azali, Mohd Fadil Osman yang bertanding di Kemayan berjaya mempertahankan kerusi Dun bagi penggal kedua.

Mohd Fadil yang memperoleh undi majoriti sebanyak 4,063 menewaskan Bob Manolan Mohammad yang hanya mendapat 4,316 sahaja berbanding undi yang diterimanya iaitu 8,379.

Bagaimanapun wakil DAP bagi kerusi Dun Triang, Leong Yu Man berjaya menewaskan Tan Tin Loon dari BN walaupun baru pertama kali bertanding.
Anak kepada mantan Adun Triang itu menang besar di kawasan tersebut dengan majoriti 5,009 undi sekali gus menunjukkan perubahan pengundi terhadap parti DAP.

Dalam pada itu, hampir 80 peratus sokongan masyarakat Cina di setiap saluran memihak kepada semua calon PR yang bertanding.

Saturday, May 4, 2013

surat palsu

Surat palsu calon BN bagi duit RM500 kepada pengundi India

Mohd. Sharkar Shamsuddin (duduk tiga dari kiri) memegang surat palsu yang diedarkan kepada kaum India di Lanchang pada sidang akhbar semalam. Yang turut sama Pengerusi MIC Temerloh, Datuk A.Shivalingam (duduk dua dari kiri).
TEMERLOH 2 Mei - Pembangkang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lanchang dikesan menyebarkan fitnah kononnya calon Barisan Nasional (BN) akan memberi wang sebanyak RM500 kepada setiap pengundi India di DUN berkenaan.
Pengerusi BN Temerloh, Datuk Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, pengundi kaum India menerima surat daripada ‘MIC’ yang ditandatangani Presidennya, Datuk Seri G. Palanivel meminta mereka mengambil wang tersebut di pejabat BN Temerloh.
Beliau yang juga calon BN bagi kerusi DUN Lanchang memberitahu, hakikatnya surat dan tandatangan Presiden MIC itu adalah palsu.
“Sebagai calon BN bagi DUN Lanchang saya menafikan akan memberi RM500 kepada setiap pengundi kaum India seperti yang heboh diperkatakan selepas penyebaran surat palsu mengenai perkara tersebut di sekitar Lanchang semalam.
“Tindakan parti lawan menyebarkan surat palsu tersebut adalah fitnah besar terhadap BN selepas mereka gentar dengan sokongan berterusan masyarakat kaum India di Lanchang," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurutnya, beliau telah mengarahkan MIC dan Gerakan membuat laporan polis berkenaan penyebaran surat palsu itu dan berharap polis menyiasat perkara tersebut dan mengheret individu ke muka pengadilan.
Menurut beliau, jika semua 3,800 pengundi di Lanchang menerima RM500 bermakna beliau perlu mengeluarkan sebanyak RM1.9 juta untuk diagih-agihkan kepada pengundi.
“Saya terima sistem pesanan ringkas (SMS) dan panggilan telefon mengenai perkara ini daripada rakan-rakan MIC di Lanchang hari ini dan ini jelas pembohongan dan fitnah.
“Kandungan surat palsu itu menggesa orang India ambil duit dengan saya pukul 10 pagi hari ini, tandatangan Presiden MIC dalam surat itu juga palsu," katanya.
Mohd. Sharkar berkata, sebelum ini, calon BN bagi Parlimen Temerloh, Datuk Saifuddin Abdullah dan calon DUN Kuala Semantan, Mohamad Anuar Mohd. Yunus turut menjadi mangsa fitnah pembangkang.
Sehubungan itu beliau menasihati orang ramai khususnya pengundi di Lanchang membuat semakan dan pengesahan daripada BN jika menerima berita atau SMS yang meragukan selepas ini.