Wanita, lima anak ketakutan diancam pemuda
1 September 2012
Norzaili Khalil, 35, berkata, ketika kejadian dia bersama anak-anaknya berusia antara 5 hingga 12 tahun berada dalam rumah.
Menurutnya, pada ketika itu datang lelaki yang dikenali terjerit-jerit menyuruhnya keluar dan mengarahkannya supaya menurunkan beberapa bendera politik yang dikibarkan di hadapan rumah.
“Semasa kejadian suami saya, Mohd Khir Zainudin, 41, tidak ada di rumah, saya dan anak-anak berasa takut sehingga seorang daripada anak saya menangis.
“Tidak beberapa lama selepas itu kelihatan pemuda itu bertindak mencantas tiang bendera di hadapan rumah saya menggunakan parang,” katanya.
Norzaili berkata, laporan polis dibuat beberapa jam selepas insiden itu setelah memastikan keadaan tidak lagi kecoh dan beberapa pegawai polis terus tampil melakukan siasatan.
Katanya, dia dan anak-anaknya kini trauma dengan kejadian itu berikutan kedudukan lokasi rumahnya bersama beberapa penghuni lain berada agak jauh di pinggir penempatan.
“Saya harap sangat agar pihak keselamatan dapat memantau keadaan kawasan di sini secara berkala supaya individu yang berniat jahat tidak berpeluang melakukan sebarang jenayah.
“Saya lebih risaukan keselamatan anak-anak yang kadang kala terpaksa sendirian pulang dari sekolah,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Wan Mohd Samsudin Wan Osman mengesahkan menerima laporan itu dan siasatan masih dijalankan.
No comments:
Post a Comment