Rumah reput dimakan anai-anai
16 Julai 2012
Minah Buang, 77, berkata, rumahnya yang didiami sejak 30 tahun lalu semakin usang dan mampu mengundang bahaya sekiranya tidak dibaiki dalam waktu terdekat.
Menurutnya, rumah terbabit dibina menggunakan kayu terbuang yang dikutip dari projek perumahan berhampiran oleh arwah suaminya.
“Kini rumah saya semakin reput. Papan lapis yang menjadi lantai rumah sudah lentur dan bila-bila masa sahaja boleh runtuh, manakala dinding pula dimakan anai-anai.
“Pernah berlaku ribut, sebahagian bumbung diterbangkan angin. Mujur saya tidak mengalami sebarang kecederaan ketika itu,” katanya di sini, kelmarin.
Minah berkata, walaupun menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300 sebulan, namun dia tidak mampu membaiki kediamannya.
“Wang bantuan itu hanya cukup beli barangan keperluan harian. Saya pula menghidap penyakit darah tinggi dan urat sarat, jadi perlu berulang-alik tiga kali sebulan ke hospital untuk melakukan pemeriksaan.
“Saya tinggal di tapak (tanah) sendiri. Saya harap dapat ihsan peruntukan atau bantuan daripada pihak berwajib bagi membaik pulih kediaman ini supaya saya boleh berteduh dari panas dan hujan,” katanya.
No comments:
Post a Comment