Sekolah agama bukan susahkan anak-anak
18 April 2012
Pengerusi Persatuan Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Kelas Agama Fardu Ain (Kafa) Daerah Maran, Baharuddin Othman berkata, kelas agama membantu anak-anak mendapat didikan agama yang cukup demi menjamin akidah serta masa depan mereka.
Menurutnya, pendidikan agama di SAR Kafa memberi pendedahan kepada anak berusia 7 hingga 12 tahun kepada Islam untuk dipraktikkan dalam kehidupan seharian.
“Kerajaan juga tidak meminggirkan SAR Kafa dengan menyediakan pelbagai bantuan bagi memastikan pembelajaran di sini mencakupi keperluan generasi sekarang.
“SAR Kafa memainkan peranan penting mendidik anak-anak dalam kelas al-Quran dan fardu ain,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan cek bantuan pembangunan kepada SAR Kafa daerah Maran, di sini.
Sebanyak RM549,363.50 sumbangan dari Unit Pendidikan Agama, Jabatan Perdana Menteri disalurkan kepada 25 SAR Kafa daerah ini.
Baharuddin berkata, bantuan itu membuktikan kerajaan tidak meminggirkan sekolah terbabit yang terbukti membantu melahirkan modal insan berkualiti.
Menurutnya, kerajaan sangat memahami kesulitan guru sekolah berkenaan yang hanya mengharapkan bayaran yuran pelajar dan bantuan institusi agama walaupun kos pentadbiran sekolah semakin meningkat.
“Maka guru agama dinasihati supaya memberi tumpuan pengajaran di dalam kelas kerana ia dapat membentuk sahsiah pelajar yang mampu mencorak kehidupan masyarakat pada masa depan.
“Setiap guru perlu mempunyai sifat bertanggungjawab menjadi seorang pendidik bagi melahirkan insan berguna bukan sahaja kepada masyarakat tetapi juga terhadap agama dan negara,” katanya.
No comments:
Post a Comment