Saturday, July 30, 2011
kuala triang
RM100,000 jayakan AET, PPG
KUALA TRIANG – Sebanyak RM100,000 diperuntukkan untuk menjayakan Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) dan Program Pengekalan Pengeluaran Getah (PPG) pada tahun ini di bawah seliaan Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), di sini.
Pegawai Risda Daerah, Hanan Mohd Yusuf berkata, seramai 11 pekebun kecil melalui tiga jenis projek berlainan iaitu kategori tanaman, ternakan dan industri desa melaksanakan program itu.
Menurutnya, buat masa ini, hanya enam peserta dipilih dengan lima orang daripada kategori ternakan dan seorang daripada kategori tanaman.
“Program khas ini membolehkan pekebun kecil menjalankan pelbagai aktiviti ekonomi sampingan terpilih sama ada dalam kawasan ladang atau luar. AET membolehkan mereka memperoleh pendapatan tambahan selain aktiviti pertanian utama dijalankan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Peralatan PPG, AET dan Kampung Teknologi Daerah Bera 2011, dekat sini. Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guai, Norol Azali Sulaiman dan Ketua Kampung, Abd Rahim Wahad.
Pada majlis sama, seramai 20 pekebun kecil dipilih menyertai PPG pada keluasan tanah 20 hektar dan 40 orang menerima bantuan untuk menjayakan Kampung Teknologi Risda.
Seorang peserta, Harun Mat yang mengusahakan ternakan kambing bersyukur kerana terpilih dalam program AET itu.
Menurutnya, usaha Risda itu sememangnya ditunggu-tunggu pekebun kecil dalam usaha meningkatkan pendapatan terutama untuk masyarakat luar bandar.
“Sememangnya bidang pertanian sekarang diberikan perhatian serius oleh kerajaan. Apa diharapkan, bantuan ini diteruskan untuk bantu pekebun kecil seperti kami,” katanya.
Sementara itu, pengusaha tanaman pisang, Sahabudin Abd Rahman berkata, bantuan disalurkan Risda banyak memberi peluang kepada pekebun kecil untuk mengembangkan usaha mereka.
Katanya, dengan taraf hidup penduduk kampung, tidak banyak modal boleh dikeluarkan untuk memajukan bidang pertanian.
“Jika sebelum ini, hasil tanaman pisang hanya sedikit, tetapi dengan bantuan Risda, ia bukan sahaja dapat menghasilkan produk berkualiti, malah meningkatkan pendapatan saya,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment