Wednesday, December 28, 2011

jenayah siber

26 kes jenayah siber

Oleh KHAIRATUL AINAL ABDUL KARIM
utusanktn@gmail.com

KUANTAN 28 Dis. - Polis negeri ini mencatatkan sebanyak 26 kes penipuan jenayah siber, bermula sejak Januari sehingga 21 Disember lalu, mengakibatkan jumlah kerugian RM1.3 juta.

Lebih membimbangkan, kebanyakan mereka yang ditipu terdiri daripada golongan berpendidikan serta berjawatan tinggi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Supritendan Thomas Navamoney berkata, kebanyakan modus operandi sindiket adalah dengan menggunakan komputer selain telefon bimbit untuk menipu mangsa.

Beliau berkata, antaranya adalah panggilan palsu dari Bank Negara Malaysia (BNM), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, polis Hong Kong dan panggilan daripada pegawai kad kredit bank.

"Nombor-nombor telefon yang tertera pada skrin telefon bimbit mangsa pula adalah dari BNM atau Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

"Mangsa yang mudah terpedaya, tanpa berfikir panjang terus memindahkan wang atau berikan nombor akaun mereka beserta nombor pin," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang mencatatkan jumlah kerugian tertinggi adalah sehingga RM400,000.

Thomas meminta orang ramai mengabaikan segera sekiranya mendapat panggilan daripada bank khususnya BNM atau polis yang memaklumkan berlaku masalah berhubung akaun atau kad kredit mereka.

"Mereka boleh terus pergi ke bank itu bagi mendapatkan pengesahan tentang perkara berkaitan atau pergi ke balai polis berhampiran.

"Jangan pindahkan wang atau mendedahkan maklumat akaun melalui telefon, emel kepada individu yang tidak dikenali," katanya.

Katanya, jika mempunyai maklumat, orang ramai diminta menghubungi segera polis Pahang di talian 09-5902222.

ceriakan bandar kuantan

RM2 juta ceriakan bandar Kuantan
Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : December 27, 2011
Bandar Kuantan
KUANTAN – Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) memperuntukkan sebanyak RM2 juta bagi menceriakan bandar Kuantan menjelang Sukan Malaysia (Sukma) 2012 yang akan berlangsung Julai tahun depan.
 
Yang Dipertuanya, Datuk Zulkifli Yaacob berkata, peruntukan itu termasuk menceriakan landskap dan pencahayaan.
 
“Kerja-kerja menceriakan bandar Kuantan akan dilaksanakan awal tahun depan.
 
“Sebagai tuan rumah, kita perlu bersiap sedia dalam semua aspek supaya tetamu yang datang selesa berada di negeri ini,” katanya ketika Majlis Pelancaran ‘Kuantan Liveliest Host’ sempena Sukma 2012, kelmarin.
 
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah, Perpaduan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri, Datuk Mohamad Sahfri Ab. Aziz.
 
Zulkifli menambah, peruntukan yang disediakan bukan hanya untuk menceriakan venue-venue sukan, malah seluruh bandar Kuantan.
 
“MPK tampil untuk membantu Kerajaan Negeri bagi merealisasikan permintaan rakyat. Kita mahu acara itu nanti berlangsung dengan meriah dan ceria di samping layanan mesra masyarakat Kuantan kepada tetamu,” katanya.
 
Menurutnya lagi, pelancaran ‘Kuantan Liveliest Host’ merupakan satu kempen kesedaran kepada mereka yang berkepentingan.
 
“Kita harap, dengan adanya kempen ini, masyarakat khususnya peniaga, pemilik pasar raya, pemilik hotel, orang kampung akan meraikan penghormatan sebagai tuan rumah.
 
“Selain MPK, mereka juga bertanggungjawab untuk mengekalkan kebersihan serta keceriaan bandar Kuantan,” katanya.
 
Sementara itu, Mohamad Sahfri berkata, sebagai tuan rumah, Kuantan perlu membuat persiapan mantap kerana Sukma 2012 bakal ditonton di seluruh Malaysia termasuk Brunei.
 
“Kita juga perlu bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan kerana bukan semua perkara berjalan seperti apa yang dirancang," katanya.

toyol kena tangkap

‘Toyol’ masjid kena cekup
Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : December 28, 2011
toyol
RAUB - Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan bagi membantu siasatan selepas dipercayai mencuri wang milik salah seorang jemaah Masjid Tengku Abu Bakar, kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Superin-tendan Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata, kejadian berlaku ketika mangsa, seorang remaja berusia 19 tahun meletakkan begnya yang berisi dompet dan wang tunai RM200 di ruang solat wanita.

Menurutnya, lebih kurang jam 8.50 pagi itu, mangsa ke tandas sebelum masuk semula ke dalam masjid dan mendapati beg pakaiannya terbuka dan dompet telah tiada.

“Mangsa sempat bertanyakan beberapa individu yang berada di sekitar masjid dan pihak pengurusan masjid juga mendapat makluman awal berkaitan kes kecurian itu.

“Berdasarkan maklumat orang ramai, suspek berjaya ditahan di Perhentian Bas dekat Pusat Perdagangan Raub,” katanya.

Wan Mohd Samsudin berkata, siasatan awal mendapati suspek yang berasal dari Serendah, Selangor itu menyimpan wang RM200 dalam dompetnya.

Katanya, suspek bertindak mengeluarkan wang dan membuang dompet mangsa ke dalam salah sebuah pasu di masjid berkenaan.

“Suspek juga menunjukkan sendiri lokasi dompet mangsa yang dibuangnya dan ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atasnya didapati negatif.

“Suspek pernah bekerja sambilan di sebuah kedai makanan dekat Bandar Raub dan difahamkan baru sahaja berhenti kerja,” kata Wan Mohd Samsudin.

Beliau berkata, pada malam sebelum kejadian, suspek dipercayai baru sahaja sampai dari Serendah dan tidur di masjid itu.

Katanya, suspek mendakwa melakukan perbuatan mencuri itu kerana ingin dijadikan tambang bas untuk pulang semula ke kampungnya di Serendah.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana curi dalam bangunan dan orang ramai perlu sentiasa berhati-hati termasuk ketika berada dalam kawasan masjid atau surau supaya menjaga barangan berharga termasuk wang dan telefon bimbit,” katanya.

Sementara itu, tindakan suspek memulangkan semula dompet yang diambilnya dalam beg pakaian mangsa akhirnya memerangkap dirinya sendiri.

Imam Dua Masjid Tengku Abu Bakar, Abd Rahman Mohd Ali berkata, ketika kejadian beliau sedang memeriksa alat pembesar suara dalam masjid itu.

Menurutnya, pada masa itu dia terlihat seorang remaja lelaki mencampak dompet ke dalam sebuah pasu di penjuru masjid berhampiran tempat wuduk dan tandas wanita.

“Pada waktu itu saya menggunakan mikrofon untuk menguji sistem bunyinya dan sempat saya menjerit sebagai respons apabila melihat perbuatan remaja itu.

“Orang ramai juga keluar dari premis berdekatan dan sempat melihat kelibat suspek melarikan diri keluar dari kawasan masjid menuju ke bandar,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Abd Rahman berkata, dia sempat menceritakan kepada anggota polis berdekatan tentang kejadian berkenaan dan menerangkan ciri-ciri fizikal remaja itu.

“Dalam masa singkat sahaja, polis dapat mengesan kedudukan lokasi suspek ketika itu dan berjaya memberkasnya,” katanya.
 

Tuesday, December 27, 2011

dapat rumah

Ibu tunggal terima rumah bantuan JKKK Kg. Penak, GiatMara

TEMERLOH 27 Dis. - Seorang ibu tunggal di Kampung Penak, Mentakab di sini tidak pernah bermimpi mendapatkan sebuah rumah yang selesa memandangkan kesempitan hidup yang dilaluinya sekeluarga.

Namun, Siti Esah Mohamad, 53, kini boleh menarik nafas lega apabila menerima sebuah rumah baru hasil keprihatinan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bersama GiatMara yang membantu membina sebuah rumah baru di belakang rumah lamanya.

Menurut Siti Esah, sebelum ini, jika hujan mereka sekeluarga tidak dapat duduk di dalam rumah lamanya kerana atap bocor dan strukturnya juga sangat uzur.

"Selama ini memang saya tidak pernah bermimpi mendapat sebuah rumah baru kerana kehidupan kami sangat susah. Saya tidak bekerja dan hanya ditanggung oleh anak-anak lelaki saya selepas kematian suami.

"Saya mempunyai sembilan orang anak dan dua orang anak perempuan saya sudah mendirikan rumah tangga. Saya tinggal bersama tujuh anak lelaki dan seorang daripadanya adalah orang kurang upaya (OKU)," katanya ketika ditemui di Mentakab dekat sini, baru-baru ini.

Penyerahan kunci rumah tersebut disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mentakab, Datuk Chuah Boon Seong. Hadir sama, Pengurus GiatMara Temerloh, Lokman Awang dan Pengerusi JKKK kampung tersebut, Abdul Rahman Omar.

Siti Esah berkata, anaknya yang tergolong sebagai OKU itu mendapat bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menurutnya, dia bergantung hidup pada anak-anak lelakinya yang membuka bengkel di hadapan rumah secara kecil-kecilan.

"Apa yang menyedihkan saya, semua anak-anak saya tidak pernah bersekolah kerana kesempitan hidup. Alhamdulillah, walaupun begitu mereka ada kemahiran dan membuka bengkel," katanya.

Sunday, December 25, 2011

warga bera digesa rebut peluang

Penduduk diajak promosi daerah
Oleh : AZIZAH SHAFIEI
Tarikh : December 26, 2011
DEWAN
BERA - Penduduk di Bera diajak untuk bersama-sama mempromosikan daerah itu bagi meningkatkan pendapatan ekonomi terutamanya dari sektor pelancongan.

Presiden Majlis Belia Negeri Pahang, Norol Azali Sulaiman berkata, Tasek Bera merupakan salah satu lokasi pelancongan yang boleh dijadikan daya tarikan masyarakat luar ke daerah itu.

Menurutnya, dalam perancangan Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri, aktiviti ekonomi di daerah Bera adalah pelancongan berasaskan pertanian.

“Tasek Bera merupakan kawasan tanah lembap atau kawasan perlindungan bagi habitat ekologi yang perlu ­dipelihara dan sering menjadi tumpuan migrasi burung-burung pada waktu tertentu.

“Tetapi, setakat ini lokasi pelancongan itu masih belum dikenali ramai, malah tiada tarikan yang membolehkan orang luar datang ke sini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Moh Menjenamakan Bera sempena Program Merakyatkan Seni Budaya (PMS) Dun Guai 2011.

Norol Azali berkata, pengisytiharan itu sepatutnya sudah membolehkan rakyat Bera menerima tempias peningkatan ekonomi, tetapi ia masih belum lagi berlaku.

Katanya, selain mempromosikan lokasi pelancongan, pelbagai produk buatan rakyat di daerah itu juga perlu diperkenalkan dan ia bukan sekadar tanggungjawab satu pihak tetapi semua harus memainkan peranan.

“Walaupun Bera merupakan antara daerah yang baru, tetapi usaha untuk memajukan dan membangunkan daerah ini perlu dilakukan segera seiringi dengan pembangunan di kawasan lain.

“Dengan kelebihan produk pelancongan yang ada, seharusnya kita boleh mara ke hadapan dan orang ramai juga mesti bersama-sama mempromosikan produk-produk yang ada di daerah ini,” katanya.

sempit nya rumah

11 kali tukar rim motosikal
Oleh : NOR ATIEYAH YUSOFF
Tarikh : December 26, 2011
jalan lopak
KUANTAN - Pengguna jalan di kawasan perindustrian Gebeng berhadapan risiko kemalangan akibat keadaan jalan raya yang rosak dan tidak diselenggarakan.

Tinjauan Sinar Harian mendapati beberapa kerosakan termasuk lubang dikesan dari jalan simpang masuk ke perindustrian Gebeng hingga ke Jalan Gebeng 2/3.

Seorang pengguna yang mahu dikenali sebagai Jamal, 30-an, berkata, masalah jalan rosak di kawasan itu tidak pernah selesai walaupun sudah beberapa kali diadukan kepada pihak bertanggungjawab.

Katanya, dia pernah ­menghubungi pihak berkaitan bagi mengatasi masalah itu, ­tetapi sehingga kini belum ­menampakkan sebarang tindakan.

“Sudah beberapa kali saya menghubungi pihak berkenaan kerana tidak tahan dengan keadaan jalan yang hanya menunggu mangsa kemalangan,” katanya kepada Sinar Harian.

Jamal berkata, dia juga terpaksa menukar rim motosikalnya sebanyak 11 kali kerana bengkok akibat melalui jalan terbabit.

“Banyak kejadian berlaku terutamanya ketika hujan. Lubang yang dalam ditenggelami air mengakibatkan kemalangan melibatkan kenderaan kecil,” katanya.

Jamal berkata, jalan itu sudah banyak kali diturap, tetapi tidak tahan lama berkemungkinan tiada kualiti atau tidak menepati piawaian menyebabkannya ia rosak semula selepas dilalui kenderaan berat.

Katanya, sebagai pengguna dia cuba menghubungi Jabatan Kerja Raya tetapi dimaklumkan jalan itu di bawah seliaan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK).

“Saya kemudian mengadu kepada MPK dan mereka memberi maklum balas untuk mengambil tindakan terhadap perkara itu,” katanya.

tolong la baiki jalan

11 kali tukar rim motosikal
Oleh : NOR ATIEYAH YUSOFF
Tarikh : December 26, 2011
jalan lopak
KUANTAN - Pengguna jalan di kawasan perindustrian Gebeng berhadapan risiko kemalangan akibat keadaan jalan raya yang rosak dan tidak diselenggarakan.

Tinjauan Sinar Harian mendapati beberapa kerosakan termasuk lubang dikesan dari jalan simpang masuk ke perindustrian Gebeng hingga ke Jalan Gebeng 2/3.

Seorang pengguna yang mahu dikenali sebagai Jamal, 30-an, berkata, masalah jalan rosak di kawasan itu tidak pernah selesai walaupun sudah beberapa kali diadukan kepada pihak bertanggungjawab.

Katanya, dia pernah ­menghubungi pihak berkaitan bagi mengatasi masalah itu, ­tetapi sehingga kini belum ­menampakkan sebarang tindakan.

“Sudah beberapa kali saya menghubungi pihak berkenaan kerana tidak tahan dengan keadaan jalan yang hanya menunggu mangsa kemalangan,” katanya kepada Sinar Harian.

Jamal berkata, dia juga terpaksa menukar rim motosikalnya sebanyak 11 kali kerana bengkok akibat melalui jalan terbabit.

“Banyak kejadian berlaku terutamanya ketika hujan. Lubang yang dalam ditenggelami air mengakibatkan kemalangan melibatkan kenderaan kecil,” katanya.

Jamal berkata, jalan itu sudah banyak kali diturap, tetapi tidak tahan lama berkemungkinan tiada kualiti atau tidak menepati piawaian menyebabkannya ia rosak semula selepas dilalui kenderaan berat.

Katanya, sebagai pengguna dia cuba menghubungi Jabatan Kerja Raya tetapi dimaklumkan jalan itu di bawah seliaan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK).

“Saya kemudian mengadu kepada MPK dan mereka memberi maklum balas untuk mengambil tindakan terhadap perkara itu,” katanya.